Empat dekad tunggu kad pengenalan berhasil

Zaharah menunjukkan kad pengenalan merah yang digunakan selama 40 tahun.
Zaharah menunjukkan kad pengenalan merah yang digunakan selama 40 tahun.
A
A
A

MUAR - Hanya syukur dan gembira yang mampu digambarkan seorang warga emas apabila permohonannya untuk memiliki MyKad akhirnya berjaya selepas menanti hampir empat dekad.

Zaharah Dewa, 82, berkata, dia yang merupakan pemegang taraf pemastautin tetap sebelum ini sukar memohon status berkenaan kerana terpisah dengan keluarga sejak kecil.

Menurutnya, sebagai anak kelahiran Senggarang, Batu Pahat, dia sememangnya terlalu berharap untuk memiliki taraf warganegara seperti tujuh beradiknya yang lain namun permohonan itu sukar diproses.

Zaharah yang juga ibu kepada 11 anak ini berkata, dia dipelihara oleh keluarga angkat dari Riau, Indonesia sewaktu usia kanak-kanak dan sekali gus disahkan sebagai penduduk di sana.

“Saya tak ingat tahun berapa tapi zaman Jepun, usia sekitar empat atau lima tahun. Saya dan abang mandi bersama di luar dan tiba-tiba saya dibawa oleh orang yang tak dikenali.

“Rupanya suami isteri ini mahu menjadikan saya sebagai anak mereka. Kita yang masih kecil tak tahu apa, hanya ikut sahaja.

“Bagaimanapun ketika usia meningkat, saya diberitahu latar belakang keluarga sebenar yang menetap di Malaysia. Kedua-dua orang tua kandung juga tidak pernah terputus hubungan dengan ibu bapa angkat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediaman anaknya di Kampung Sungai Muda di sini.

Artikel Berkaitan:

Zaharah bersama Mariani (kiri) dan anak keempatnya, Jamilah melihat gambar anak sulungnya yang masih menetap di Indonesia.
Zaharah bersama Mariani (kiri) dan anak keempatnya, Jamilah melihat gambar anak sulungnya yang masih menetap di Indonesia.

Zaharah berkata, selepas hampir 40 tahun menetap di negara seberang dan berkahwin dengan penduduk di sana, dia dan keluarganya pulang ke Malaysia selepas bapanya meninggal dunia.

“Abang saya pujuk balik semula ke negara ini sebab nak lebih dekat sebagai adik-beradik. Malah ada juga anak saya yang dah menetap di Malaysia sejak kecil dan dipelihara oleh keluarga di sini.

“Memang sepanjang saya di sana, hubungan dengan adik-beradik tak pernah putus. Memikirkan kesukaran untuk bertemu dan usia pula semakin lanjut, saya membuat keputusan untuk balik ke negara ini bersama anak-anak yang lain,” katanya.

Katanya, hanya anak sulungnya sahaja yang menetap di Indonesia kerana sudah berkeluarga.

Menurut warga emas ini, sebaik kembali ke Malaysia pada 1979, dia hanya mampu memohon kad pengenalan merah bertaraf pemastautin tetap gara-gara sukar membuktikan kelahirannya di negara ini.

“Saya tak dapat nak tukar taraf kewarganegaraan dengan mudah kerana sijil kelahiran telah musnah dalam kebakaran. Jadi tiada sebarang dokumen mengesahkan saya dilahirkan di Malaysia selain maklumat ibu dan bapa yang juga warganegara Malaysia sukar dibuktikan.

“Saya bersama beberapa anak hanya menggunakan kad pengenalan merah. Bagaimanapun anak keempat berjaya peroleh kad pengenalan biru pada 2013 kerana memohon melalui status warganegara suaminya,” katanya.

Zaharah berkata, bermula tahun itu, dia nekad untuk memiliki kad pengenalan biru meskipun perlu menyediakan pelbagai dokumen.

“Masa tu umur saya dah 76 tahun baru bersungguh nak dapatkan taraf warganegara. Dalam hati berdoa sangat biarlah saya diberi kesempatan menjadi pemegang kad pengenalan biru sebab ini tanah air saya.

“Dengan usia yang dah lanjut, tak dinafikan perasaan bimbang sebab mengenangkan adakah saya berpeluang merasa taraf warganegara ini kelak,” katanya.

Dalam pada itu, anak bongsu Zaharah, Mariani Daeng Morola, 47, masih ingat keterujaannya selepas menerima panggilan dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Dua minggu lepas, JPN hubungi saya maklumkan permohonan mak dah lulus. Saya yang berada di pasar raya bersendirian begitu teruja dan gembira sehinggakan tak jadi beli barang sebab nak terus pulang ke rumah beritahu mak.

“Mak memang seronok sampai menangis kerana di usia 82 tahun ini, barulah dia diiktiraf rakyat Malaysia yang sah. Inilah yang dinantikan oleh mak dan adik-beradiknya selama ini,” katanya.

Mariani berkata, meskipun pengiktirafan itu kelihatan kecil di mata orang lain namun ia adalah anugerah terindah kerana dia dan tujuh beradiknya yang masih hidup (tiga meninggal dunia) tidak pernah putus berdoa agar ibunya diberi kesempatan merasai kenangan ini.

“Sebaik kad pengenalan biru mak siap nanti, banyak urusan yang kami akan lakukan antaranya termasuklah permohonan untuk bantuan Baitulmal.

“Sebab sebelum ini banyak juga urusan tergendala selain kesukaran melengkapkan dokumen dengan mudah gara-gara kad pengenalan merah sebelum ini,” katanya.