Suami isteri maut kemalangan selamat dikebumikan

Jenazah Anuar dan isterinya selamat dikebumikan di Tanah Perkiburan Islam Kampung Sura Tengah kira-kira jam 9 malam, sebentar tadi.
A
A

DUNGUN - Jenazah pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan meragut empat nyawa di Kuala Nerus pagi tadi selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sura Tengah, di sini kira-kira jam 9 malam sebentar tadi.

Jenazah Anuar Said, 57, yang juga peniaga dan isterinya, Khasliza@Che Khasliza Che Hussin, 53, disembahyangkan di Surau Haji Endut, Jalan Bunga Raya, di sini selepas tiba dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu kira-kira jam 6.30 petang.

Jenazah pasangan yang memiliki tiga cahaya mata itu kemudian dibawa pulang ke rumah mereka di Taman Sura Tengah, Jalan Bunga Raya sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Kira-kira 100 ahli keluarga, sahabat handai dan penduduk hadir memberi penghormatan terakhir kepada kedua-dua mangsa ketika pengebumian.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan semasa anak kedua pasangan itu, Muhammad Adib Anuar, 18, menyiram air mawar di pusara ibu bapa mereka.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9.20 pagi tadi di Kilometer 32 Jalan Kuala Terengganu-Setiu berhampiran Kampung Pakoh Jaya, Kuala Nerus, anak pasangan itu, Nurul Nadirah Anuar, 14, turut cedera parah.

Turut terkorban dalam nahas menyayat hati itu sepasang lagi suami isteri, Siti Nur Shahila Asla, 26, yang sedang hamil dan suaminya yang juga mekanik, Hafiiz Mohd Ibrahim, 29.

Kemalangan berlaku semasa Anuar bersama isterinya yang bekerja sebagai guru taska dan anak mereka dalam perjalanan menuju ke Besut untuk menziarah sepupu lelaki itu yang meninggal dunia.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Peugeot yang dipandu Anuar bertembung dengan Proton Wira Aeroback dipandu Mohd Hafiz dari arah bertentangan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Wanita hamil antara empat maut nahas

Pertemuan terakhir dengan keluarga


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia