Pertemuan terakhir dengan keluarga

Hafiz dan Siti Nur Shahila melangsungkan perkahwinan pada 15 September tahun lalu dan dikatakan amat teruja untuk menyambut 'orang baharu' tahun ini.
A
A

KUALA NERUS - Wanita hamil anak sulung antara empat maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 32, Jalan Kuala Terengganu-Setiu, berhampiran Pakoh Jaya di sini hari ini.

Mangsa Siti Nur Shahila Asla, 23, dan suaminya, Hafiz Mohammad Ibrahim, 29, menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian selepas kereta Wira Aeroback dinaiki bertembung dengan kereta Peugeot.

Pemandu Peugeot, Anuar Said, 57, dan isterinya, Che Khasliza Che Hussin, 53, turut terkorban manakala anak perempuan pasangan itu, Nurul Nadirah, 14, cedera parah dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Difahamkan ketika kejadian 9.20 pagi itu, Hafiz dan Siti Nur Shahila dalam perjalanan pulang dari Felda Chiku Lima, Gua Musang, Kelantan, ke kediaman ibu bapa Hafiz di Padang Nenas, di sini.

Anuar dan keluarganya pula dalam perjalanan dari Dungun ke Besut untuk menziarahi sepupunya yang meninggal dunia, malam tadi.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Anuar dikatakan bertembung dengan Wira Aeroback dipandu Hafiz yang datang daripada arah bertentangan.

Bapa Siti Nur Shahila, Asla Ismail, 53, berkata, anak perempuan dan menantunya itu dalam perjalanan pulang ke Padang Nenas selepas bertolak dari rumahnya kira kira jam 6.30 pagi.

"Anak perempuan saya mengandung anak sulung. Saya dimaklumkan usia kandungannya sudah hampir enam bulan. Kebiasaannya anak saya akan maklum dahulu jika bercadang hendak balik kampung.

"Namun kali ini arwah tidak menghubungi saya, sedar sedar dah sampai di muka pintu rumah (Felda Ciku Lima) sekitar jam 8.00 malam Khamis lalu," katanya ditemui di Unit Forensik HSNZ Kuala Terengganu.

Siti Nur Shahila yang juga anak ketiga daripada empat beradik itu, dipercayai mungkin ingin membuat kejutan kepada ibunya, Saripah Mohamad, 53, dan adik-beradik lain tambahan tidak pulang Aidilfitri ini.

Asla berkata, anak dan menantunya tidak pulang pada sambutan Aidilfitri ini kerana sudah beraya bersama keluarga di Felda Ciku Lima, tahun lalu dan kepulangan ini adalah pertemuan terakhir mereka.

Sementara itu, abang Hafiz, Aliman Muhammad Ibrahim, 42, pula berkata, dia cuma tahu mengenai kejadian itu selepas melihat gambar kereta yang rosak teruk tersebar menerusi Facebook kira-kira jam 9.00 pagi.

"Apabila saya tengok, itu macam kereta yang saya pinjamkan kepada adik (arwah). Sebaik sahaja tengok gambar itu, saya terus cuba menghubungi adik-beradik lain, namun (panggilan) tidak berjawab.

“Saya hanya tahu kejadian sebenar selepas salah seorang adik saya bergegas ke tempat kejadian dan memaklumkan kemalangan itu melibatkan arwah dan isterinya,” katanya kepada Sinar Harian.

Suasana sedih menyelubungi ahki keluarga yang tiba di Unit Forensik HSNZ Kuala Terengganu.
Suasana sedih menyelubungi ahki keluarga yang tiba di Unit Forensik HSNZ Kuala Terengganu.

Hafiz bekerja sebagai mekanik di bengkel milik Aliman lebih lima tahun lalu dan menjadi kebiasaannya pulang ke rumah keluarga isterinya dengan menggunakan kereta Wira Aeroback milik abangnya itu.

Anak bongsu dari enam beradik itu melangsungkan perkahwinannya dengan Siti Nur Shahila pada 15 September tahun lalu dan dikatakan amat teruja untuk menyambut 'orang baharu' tahun ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.30 pagi.

Susulan itu, sekumpulan 11 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera serta ambulans Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan dua kenderaan, iaitu sebuah kereta jenis Peugeot yang dinaiki tiga mangsa dan sebuah Proton Aeroback dinaiki dua mangsa.

“Kita mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkan mayat kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Abd Razak Hassan dihubungi media mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita hamil antara empat maut nahas