'Saya bangga dengan nama Che Udoh'

Mak Dak yang tinggal di rumah pusaka ibunya bersama adik, Salmah 55 hanya menumpang kasih daripada 78 anak saudara.
A
A

YAN - "Walaupun nama saya lain daripada 13 adik-beradik yang lain namun saya tidak berkecil hati dan gembira dengan nama yang diberikan,"

Demikian kata Che Udoh Man, 69 ketika ditemui dirumahnya di Kampung Kuala Sedaka, Yan hari ini.

Che Udoh yang merupakan anak keempat daripada 14 adik-beradik lebih mesra disapa Mak Dak Doh.

Menurut Mak Dak Doh, terdapat dua kisah di sebalik nama yang diberikan oleh kedua ibu bapanya.

Katanya, kesemua adik beradiknya berkulit putih dan apabila beliau dilahirkan ibu dan bapanya terkejut dengan kulit wajah Mak Dak Doh yang gelap.

"Abang dan kakak-kakak Mak Dak semua putih segak, tapi bila mak lahirkan Mak Dak tengok-tengok hitam legam.

"Ayah tanya mak nak letak nama apa, mak pi jawab letak pi la nama huduh-huduh yang membawa maksud letak pi la nama apa pun yang biasa-biasa," katanya.

Menurut Mak Dak, dalam masa yang sama ayah turut mengimpikan seorang anak yang pandai bertaranum dan membaca al-Quran.

"Kebetulan pula ayah mempunyai ibu saudara yang mempunyai ciri-ciri tersebut dan bernama Che Udoh, ayah pun tak fikir panjang bila pi buat laporan kelahiran ayah letakkan nama Mak Dak Che Udoh," katanya.

Menurut Mak Dak, impian ayahnya menjadi kenyataan apabila beliau pandai membaca al-Quran dan bertaranum.

Che Udoh bersama adiknya Salmah
Che Udoh bersama adiknya Salmah

"Masa sekolah pun Mak Dak banyak masuk pertandingan nasyid dan berpidato sehingga ayah bangga dengan pencapaian Mak Dak," katanya.

Ditanya adakah ada pihak yang mempersendakan namanya, Mak Dak berkata tidak pernah ada orang yang mengejeknya.

"Cuma terdapat seorang guru yang mempertikaikan nama berkenaan, dia tanya awat ayah letak nama tu.

"Mungkin dia tak berkenan jadi dia ubah nama Mak Dak kepada Siti Zubaidah, mulai hari tu cikgu berkenaan panggil nama tu dan sekarang dia sudahpun meninggal dunia," katanya.

Tambah Mak Dak, ramai orang menyarankan beliau menukar nama berkenaan kepada nama yang lebih manis.

"Ramai orang suruh tukaq (tukar) tapi saya tak mau sebab saya bangga dengan nama yang arwah ayah berikan.

"Nama adik-beradik Mak Dak yang lain semua macam biasa iaitu, Mustafa; Saadan; Johari; Raudhiah; Salmah dan ramai lagi," katanya.

Mak Dak yang tinggal di rumah pusaka ibunya bersama adik, Salmah 55 hanya menumpang kasih daripada 78 anak saudara.

"Saya dan adik saya ni hanya menumpang kasih daripada anak-anak saudara sahaja apabila mereka berkumpul sebab kami berdua tidak dikurniakan cahaya mata," katanya.