25 peniaga kecil mahu semuka MBSA

Mizan mempertikaikan bagaimana permit boleh diberikan kepada peniaga untuk berniaga di atas lot parkir sedangkan apabila dia dan peniaga kecil lain memohon, MBSA dakwa permit tidak dikeluarkan.
Mizan mempertikaikan bagaimana permit boleh diberikan kepada peniaga untuk berniaga di atas lot parkir sedangkan apabila dia dan peniaga kecil lain memohon, MBSA dakwa permit tidak dikeluarkan.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 25 peniaga kecil yang sebelum ini berniaga di sekitar kawasan berdekatan sebuah gedung membeli-belah popular di Seksyen 7, di sini, menggesa untuk segera bersemuka dengan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Salah seorang peniaga kecil, Mizan Hamid, 45, berkata, beliau dan penjaja lain terjejas teruk selepas diarahkan MBSA untuk menghentikan operasi perniagaan di kawasan tersebut bermula 6 Mei lalu.

Beliau berkata, disebabkan itu, mereka mahukan satu pertemuan dibuat dengan MBSA bagi mencari penyelesaian berhubung perkara ini.

Menurutnya, dia dan peniaga kecil lain termasuk seorang OKU bukan baru sehari dua berniaga di situ, sebaliknya sudah hampir lima tahun mencari rezeki.

"Apabila penguat kuasa MBSA datang sehari sebelum puasa dan maklumkan kami perlu hentikan operasi bermula 6 Mei lalu, memang kami sangat terkejut.

"Tanpa notis awal sudah tentu kami kecewa, tambah lagi perniagaan tersebut merupakan satu-satunya mata pencarian kami," katanya berharap pihak MBSA memberi peluang serta kelonggaran untuk mereka berniaga semula di situ sementara Ramadan masih berbaki 10 hari lagi.

Kawasan di Seksyen 7 dipenuhi khemah jualan yang dipasang di tepi jalan dan turut menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Kawasan di Seksyen 7 dipenuhi khemah jualan yang dipasang di tepi jalan dan turut menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Katanya, selepas mereka diarahkan berhenti berniaga di kawasan tersebut, MBSA ada mencadangkan tapak lokasi perniagaan lain iaitu di Pusat Komersial Seksyen 7 berdekatan Pasaraya Giant.

Artikel Berkaitan:

"Bukan kami tak mahu berniaga di situ tapi kawasannya tiada orang dan tidak sama seperti di sini yang sentiasa dipenuhi pengunjung.

"Bagaimana kami nak cari rezeki di tempat yang tiada pengunjung?Semoga MBSA dapat mempertimbangkan semula dan membenarkan kami berniaga di kawasan lama untuk mencari pendapatan tambahan terutamanya bagi membuat persiapan hari raya," katanya kepada Sinar Harian.

Mizan berkata, rata-rata penjaja yang terjejas menjalankan perniagaan dengan lori atau van dan menjual air, ayam gunting, nugget serta menu ringkas lain.

"Kami parkir kenderaan di petak disediakan dan bayar parkir digunakan. Tapi kenapa alasan diberikan kami menghalang lalu lintas? Sedangkan peniaga lain yang dibenarkan berniaga boleh pacak khemah mereka di sepanjang jalan dan dapat permit untuk berniaga," katanya memberitahu perkara itu turut dipanjangkan kepada Adun Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi.

Mizan (kanan) turut memanjangkan permasalahan tersebut kepaa Mohd Najwan (tengah) yang ditemuinya, semalam.
Mizan (kanan) turut memanjangkan permasalahan tersebut kepaa Mohd Najwan (tengah) yang ditemuinya, semalam.

Ketika diajukan kenapa tidak mempunyai lesen berniaga, Mizan berkata, dia dan rakan peniaga kecil lain sudah beberapa kali membuat permohonan permit niaga tapi tidak berjaya.

"Setiap kali nak mohon, MBSA bagi alasan lesen tidak dikeluarkan menyebabkan kami putus asa untuk memohon lagi. Akhirnya kami juga yang akan dipersalahkan," katanya.

Sementara itu, MBSA ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu, arahan menghentikan operasi perniagaan itu dikeluarkan kepada peniaga-peniaga kecil terbabit kerana mereka tidak mempunyai permit untuk menjalankan perniagaan.

Menurut MBSA, Seksyen 7 merupakan kawasan komersial yang padat dan dikunjungi oleh ramai orang terutamanya pada bulan Ramadan untuk membeli-belah.

"Keadaan jalan sesak menyebabkan aliran trafik tersekat. MBSA terima banyak aduan berhubung isu kesesakan di kawasan tersebut dan premis tanpa kebenaran ini menambahkan lagi kesesakan di kawasan ini.

"Malah ada juga parkir kereta yang dijadikan lokasi untuk menjalankan perniagaan menyebabkan tempat letak kereta berkurangan," katanya.