Kontrak EPCC bagi projek saluran paip, kontrak lain ditamatkan

A
A

KUALA LUMPUR - Kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) bagi dua projek saluran paip serta kontrak-kontrak lain yang berkaitan bernilai RM10.4 bilion telah ditamatkan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Sehubungan itu, beliau berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili kerajaan, sedang berunding dengan pihak kontraktor China bagi menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), serta jumlah bayaran yang telah dibuat yang perlu dipulangkan semula oleh pihak kontraktor kepada syarikat.

SSER ialah anak syarikat Kementerian Kewangan yang dilapor membayar RM8.3 bilion atau 88 peratus daripada RM9.4 bilion kontrak EPCC bagi dua projek saluran paip iaitu Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP), walaupun hanya 13 peratus kemajuan kerja yang telah dicapai itu masih tidak dapat diaudit dan belum disahkan.

“AGC mewakili kerajaan dalam rundingan ini dan akan mengesyorkan langkah seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kontraktor yang berpangkalan di China itu adalah China Petroleum Pipeline Engineering Company Ltd (CPPE) dan Huanqiu Project Management (Beijing) Co Ltd (HQPMC).

Menurutnya, kontrak melibatkan MPP dan TSGP itu bernilai RM10.4 bilion, merangkumi RM9.40 bilion bagi kontrak EPCC, RM688 juta bagi perjanjian perkhidmatan perundingan dan RM312 juta untuk perundingan pengurusan projek.

“Daripada RM9.4 bilion kontrak EPCC bagi MPP dan TSGP, 85 peratus daripada kos itu digunakan untuk membiayai pinjaman selama 20 tahun bernilai 12.9 bilion yuan (kira-kira RM7.81 bilion) daripada Exim Bank, China dengan kadar faedah 3.25 peratus setahun.

“Pinjaman tersebut dijamin kerajaan,” katanya dan menurutnya, 11.32 juta yuan (kira-kira RM6.87 juta) daripada pinjaman itu telah digunakan.

Selain itu, Guan Eng berkata SSER juga telah mengambil kredit pusingan bernilai RM1.2 bilion daripada CIMB Bank.

“Fasiliti kredit ini sepatutnya dibayar sepenuhnya pada Julai 2019. SSER dan CIMB sedang berbincang untuk membolehkan SSER hanya membayar RM600 juta tahun ini dan seterusnya melunaskan baki pinjaman pada 2020,” katanya.

Fasiliti kredit pusingan RM1.2 bilion itu menanggung kadar faedah 4.2 peratus setahun bagi tempoh 18 bulan. -Bernama