Awang hitam masuk 'perangkap'

Antara PATI yang ditahan menerusi Operasi Bersepadu sekitar kawasan Taman Alam Jaya, Batu 9, Cheras, di sini, malam tadi.
A
A

KAJANG - Sekumpulan warga Afrika lari lintang-pukang selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa di sekitar Taman Alam Jaya, Batu 9, Cheras, di sini malam tadi.

Namun, cubaan itu berjaya dipatahkan dalam operasi bersepadu Bahagian Operasi Jabatan Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) pada jam 9.30 malam.

Operasi ini menyasarkan warga Afrika di sekitar kawasan berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzamee Daud berkata, operasi ini telah memeriksa seramai 33 warga asing termasuk dua kanak-kanak.

"Hasil pemeriksaan terperinci telah menahan seramai 10 orang lelaki dan tiga wanita bersama dua kanak-kanak warganegara asing.

"Semakan mendapati mereka terdiri daripada 11 warga Nigeria, Uganda (1 orang) serta tiga warga Thailand termasuk dua kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati warga asing ini melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen.

Mengulas lanjut, bermula tahun lalu sehingga hari ini, Imigresen telah menahan seramai 295 warga Afrika atas pelbagai kesalahan Imigresen.

Tegasnya, operasi ke atas kawasan yang dimonopoli warga Afrika akan terus dipergiatkan secara bersepadu dengan agensi keselamatan yang lain seperti PDRM, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Kita juga menegaskan akan mengambil segala langkah yang perlu dan tindakan tegas untuk menangani isu-isu berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) selaras dengan peruntukan undang-undang negara," katanya.