Isu hutang peneroka: Muhyiddin masuk perangkap sendiri - Shabery Cheek

Ahmad Shabery ditemui selepas menghadiri Town Hall Generasi Felda di Perantauan anjuran Kami Anak Felda (Kaf) di ibu negara, pada Sabtu.
Ahmad Shabery ditemui selepas menghadiri Town Hall Generasi Felda di Perantauan anjuran Kami Anak Felda (Kaf) di ibu negara, pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin yang mahu meneruskan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pelupusan hutang peneroka, hanya menjerat diri sendiri.

Dakwa beliau, Muhyiddin telah masuk dalam perangkap yang dibuat sendiri.

Menurutnya, perjanjian antara kerajaan di bawah Anwar dengan Felda berhubung jaminan bayaran hampir RM1 bilion setahun sudah cukup membuktikan bahawa tiada sebarang perjanjian dibuat sebelum ini.

"Perjanjian terakhir antara kerajaan dengan Felda adalah satu bukti kukuh bahawa sebelum ini tidak ada sebarang perjanjian.

"Dia (Muhyiddin) suruh langsaikan hutang, Felda disuruh berhutang (ambil sukuk) dan tidak ada satu komitmen yang jelas bagaimana kerajaan akan membayar hutang yang diambil Felda.

"Hanya PMX (Anwar) membuat satu komitmen yang jelas iaitu melalui jaminan kerajaan yang ditandatangani," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Town Hall Generasi Felda di Perantauan anjuran Kami Anak Felda (Kaf) di sini, pada Sabtu.

Ahmad Shabery berkata, perjanjian tersebut menjadi titik kelegaan kepada yang menjamin aliran kewangan Felda untuk terus membantu peneroka.

"Ini bermakna apa pun berlaku kepada kerajaan selepas ini, tetap mesti dibayar. Kerajaan tak boleh kata bajet tahun ini tak cukup dan sebagainya," katanya.

Justeru, beliau menyarankan agar Muhyiddin menyelesaikan isu berkenaan dengan membuat pengakuan terbuka bahawa isu hutang peneroka Felda tidak pernah diselesaikan hingga ke peringkat jaminan kerajaan.

"Felda ini bukan bermula pada 2021. Kalau nak kata itu hasilnya, kita kena tengok sebelum tu banyak lagi hasil perjuangan orang sebelum itu," katanya.

Media melaporkan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh akan meneruskan tindakan saman terhadap Anwar selepas Anwar gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka dalam tempoh 24 jam seperti terkandung dalam surat tuntutan peguam yang dihantarnya sebelum ini.

Beliau mendakwa bukti dokumen dikemukakan Anwar bukan berkenaan pelupusan hutang peneroka Felda, sebaliknya berkenaan sukuk.

Kemudian pada Jumaat, Anwar telah menghantar surat tuntutan undang-undang kepada Muhyiddin meminta bayaran ganti rugi RM200 juta berhubung dakwaan fitnah yang dikaitkan dengan isu pelupusan hutang peneroka Felda.

Anwar juga meminta permohonan maaf daripada Muhyiddin dalam tempoh 24 jam.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar tuntut Muhyiddin mohon maaf, bayar pampasan RM200 juta

Hutang peneroka Felda: Muhyiddin hantar notis tuntutan kepada Anwar

Anwar, Muhyiddin berjasa dalam penyelesaian hutang peneroka Felda

Hutang Felda: Anwar tunjuk bukti, desak Muhyiddin mohon maaf

Hutang Felda: MOF sahkan Anwar tandatangan FSRA

Dokumen didedahkan bukan perjanjian lupus hutang Felda - Marzuki