Pengamal perubatan asing perlu berdaftar dengan MMC

Boon Chye menyalakan obor sebagai simbolik perasmian Sukan Tahunan SJKT Gunung Rapat di sini hari ini.
A
A

IPOH - Kementerian Kesihatan mengarahkan semua pengamal perubatan warga asing berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sebelum menawarkan perkhidmatan di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, selain berdaftar dengan MMC, mereka juga diwajibkan untuk memiliki sijil perakuan amalan perubatan secara tahunan untuk menjalankan perkhidmatan perubatan itu.

Menurutnya, kerajaan boleh mengenakan tindakan undang-undang ke atas mana-mana pengamal perubatan asing yang gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

"Mereka perlu ada kedua-dua ini. Jika mereka tawarkan perkhidmatan perubatan tapi tidak berdaftar dan tiada sijil amalan tahunan, tindakan itu merupakan satu kesalahan.

"Sekiranya mereka mengedarkan ubat-ubatan yang bukan daripada kalangan doktor dan ahli farmasi, tindakan juga boleh diambil ke atas mereka di bawah Akta Jualan Dadah yang boleh dikenakan denda sebanyak RM25,000 atau tiga tahun penjara," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Sukan Tahunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gunung Rapat di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Kerajaan Perak yang juga ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris semalam berhubung isu klinik dan farmasi haram dikesan di ibu negara yang dikendalikan oleh pengamal perubatan warga Bangladesh.

Menurutnya, pihak Kementerian Kesihatan akan meneliti laporan berkenaan dan mendapatkan bukti berkaitan sebelum tindakan lanjut dibuat terhadap perkhidmatan yang dijalankan warga asing itu.

Dalam perkembangan lain, Boon Chye menjelaskan kadar obesiti dalam kalangan pelajar meningkat berbanding lima tahun sebelumnya.

Katanya, pada tahun lalu, kadar obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 10 hingga 17 tahun sebanyak 14.8 peratus berbanding tahun 2012 hanya 12.3 peratus.

"Memang kita menggalakkan cara hidup sihat bukan setakat kita mahu mereka jauhi dadah dan rokok, kita juga menggalakkan aktiviti bersukan kerana kita tahu kadar obesiti memang tinggi.

"Antara sebabnya mereka ambil makanan bergula jadi kita minta pelajar ambil makanan kurang gula, hidup lebih aktif dan lakukan senaman," katanya.