Banjir kilat: Enam sekeluarga terpaksa berpindah

Antara kawasan di Meru yang dinaiki air selepas hujan lebat sejak petang semalam.(FOTO: IHSAN BOMBA)
Antara kawasan di Meru yang dinaiki air selepas hujan lebat sejak petang semalam.(FOTO: IHSAN BOMBA)
A
A
A

KLANG – Sebuah keluarga yang tinggal di Persiaran Hamzah Alang, Meru terpaksa bersahur di pusat pemindahan sementara selepas rumah mereka dinaiki air, awal pagi tadi.

Kejadian itu berlaku selepas hujan lebat sejak jam 6 petang semalam dan air dari Setia Alam melimpah di kawasan itu dan beberapa lagi kawasan di Meru.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, enam beranak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) ditempatkan di Balai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Meru, kira-kira jam 1 pagi tadi.

“Taburan hujan yang lebat dan limpahan air dari Setia Alam turut menyebabkan beberapa kawasan di Meru dinaiki air antaranya Jalan Abadi 5 dan 6 serta Jalan Beruas 2/KU8 di Taman Daya Meru, Jalan Cempaka dan Jalan Setia Murni U13/51.

“Parit sedia ada tidak dapat menampung air hujan, sekali gus menyebabkan air memasuki rumah mangsa dan mereka terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Balai MPKK Meru pagi tadi,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Mangsa terpaksa dipindahkan ke Balai MPKK Meru selepas kediaman mereka dinaiki air awal pagi tadi. (FOTO: IHSAN BOMBA)
Mangsa terpaksa dipindahkan ke Balai MPKK Meru selepas kediaman mereka dinaiki air awal pagi tadi. (FOTO: IHSAN BOMBA)

Menurut beliau, pihaknya akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa.

“Di Jalan Abadi 5 dan 6, ketinggian air dicatatkan 100 milimeter (mm) hingga 300 mm, sementara ketinggian air pada paras kira-kira 0.3 meter di Jalan Cempaka, Meru.

Artikel Berkaitan:

“Pengguna jalan raya dari arah Meru ke Klang turut dinasihatkan supaya berhati-hati berikutan separuh jalan di Batu 5 berhampiran stesen minyak Shell ke lampu isyarat Klang Sentral digenangi air akibat air yang bertakung di kawasan kilang di sepanjang jalan tersebut.

“Ini akan mengganggu aliran trafik dan mereka disarankan mengelak dari menggunakan jalan tersebut supaya tidak terperangkap dengan kesesakan lalu lintas,” katanya.