Suri rumah diseret lima meter

Suami mangsa mengejar kereta yang menyebabkan isterinya terseret apabila beg tangannya disamun.
Suami mangsa mengejar kereta yang menyebabkan isterinya terseret apabila beg tangannya disamun.
A
A
A

TUMPAT - Seorang suri rumah cedera di kepala, kaki dan badan diseret kereta sejauh lima meter apabila beg tangannya cuba disamun ditepi jalan berhampiran Pejabat Pos Wakaf Bharu di sini hari ini.

Kejadian jam 10.40 pagi berlaku ketika mangsa berusia 57 tahun dari Taman Tanjung Chat, Kota Bharu berjalan kaki beriringan dengan suaminya selepas membeli belah di pasar tani.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, mangsa dihampiri sebuah kereta Proton Waja berwarna silver dari arah bertentangan dengannya.

Katanya, penumpang hadapan kereta terbabit mengeluarkan separuh badannya dari tingkap menarik beg tangan mangsa.

"Lelaki terbabit memakai penutup muka dan topi telah menarik beg tangan yang dipegang mangsa.

"Mangsa tidak melepaskan beg tangannya menyebabkan dia diseret kereta terbabit sejauh lima meter," katanya dihubungi Sinar Harian.

Ab Rashid berkata, mangsa menjerit meminta tolong dan orang ramai yang lalu di kawasan itu bersama suami membantu isterinya.

"Lelaki terbabit bersama pemandu kereta itu melarikan diri dan beg tangan tersebut tidak berjaya diambil mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kita sedang mengesan suspek berusia 20-an menerusi kamera litar tertutup yang dipasang di beberapa premis yang merakam kejadian itu," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun keseksaan.

Sebelum ini tular di media sosial seorang wanita diseret kereta Proton Waja dan suaminya mengejar kereta terbabit untuk menyelamatkan isterinya.