15 saman dikeluarkan kesalahan pandu guna telefon bimbit

Op Khas Telefon Bimbit yang dilakukan Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Pontian, hari ini.
A
A

PONTIAN - Sebanyak 15 saman dikeluarkan bagi kesalahan memandu sambil guna telefon bimbit dan pelbagai kesalahan lain sepanjang Op Khas Telefon Bimbit selama tiga jam bermula 10 pagi di Pekan Nanas dan Pontian, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, enam anggota dari Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik daerah Pontian diketuai Pegawai Operasi Inspektor Ahmad Shah Rasheed menjalankan operasi khas terbabit.

"Penggunaan telefon bimbit ketika memandu merupakan antara enam kesalahan utama yang menyumbang kepada berlakunya kemalangan jalan raya.

"Kesalahan tersebut amat membimbangkan kerana kecuaian pemandu tersebut boleh mengakibatkan kemalangan kepada diri sendiri dan orang lain," katanya.

Justeru polis mengingatkan pemandu kenderaan supaya tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan tindakan saman berterusan akan diambil, terutama di musim-musim perayaan yang akan menampakkan pertambahan kenderaan di jalan raya.

"Hati-hati ketika memandu, ingat orang tersayang yang menanti kepulangan anda di rumah dengan selamat," katanya.