Pas tak ajar ahli ingkar disiplin

Tuan Ibrahim
A
A

KOTA BHARU - Pas tidak pernah mendidik ahlinya ingkar kepada peraturan dan disiplin dalam parti, kata Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya, isu melibatkan kereta Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin yang dikaitkan dengan ahli Pas sebenarnya masih lagi dalam siasatan polis.

“Suspek masih disiasat oleh polis dan kita (Pas) terbuka dan turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana menasihati supaya tidak membuat spekulasi dan andaian yang boleh menganggu siasatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah di Madinah Ramadhan di sini, malam tadi.

Menurutnya, Pas tidak terkesan dengan pelbagai andaian yang dibuat kerana hakikat bukti sebenar masih lagi dalam siasatan dan memberi peluang pihak berkuasa menyelesaikannya dengan baik.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai muktamar parti itu yang akan diadakan tidak lama lagi, Tuan Ibrahim berkata, semua senarai pencalonan bagi pemilihan pelbagai jawatan perlu dihantar selewat-lewatnya minggu hadapan.

“Muktamar Pas secara tradisinya memang tiada kempen, siapa kempen, mesti dia akan kalah. Jadi mana ada orang nak kalah.

"Setakat ini semua pencalonan sudah dihantar masing masing dah dapat pencalonan, (maka) dia kena hantar sebelum minggu depan untuk pengesahan,"katanya.

Ketika ditanya adakah beliau akan mempertahankan jawatan, Tuan Ibrahim berkata, buat masa ini beliau masih belum membuat sebarang perancangan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Bukan arahan Pas bakar kereta Mufti Perlis

Penganggur diberkas bakar kereta Mufti Perlis