Lelaki mengamuk ugut bakar stesen minyak

Suspek berteriak mahu membakar stesen minyak ketika orang awam cuba mendekatinya dalam kejadian amuk di sebuah stesen miyak di bandar Chukai malam tadi.
Suspek berteriak mahu membakar stesen minyak ketika orang awam cuba mendekatinya dalam kejadian amuk di sebuah stesen miyak di bandar Chukai malam tadi.
A
A
A

KEMAMAN - Berang kerana dilarang merokok di sebuah stesen minyak, seorang lelaki mengamuk dan mengugut mahu membakar stesen minyak itu sekali gus menggemparkan pengguna di situ dalam kejadian di bandar Chukai.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam tadi itu, lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 30-an itu dikatakan berada dalam keadaan 'lalok'.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, lelaki itu dipercayai naik angin selepas ditegur orang ramai yang berada di situ kerana cuba menyalakan sebatang rokok di stesen minyak berkenaan.

"Ekoran teguran itu, suspek tiba-tiba mengamuk lalu mengambil salah satu nozzle pam minyak dan menghayunkan kepada orang awam yang cuba menenangkannya.

"Disebabkan suspek bertindak terlalu agresif, orang awam tidak berani untuk mendekatinya, malah suspek turut berteriak mahu membakar stesen minyak berkenaan," katanya.

Mohd Said berkata, ugutan itu mengakibatkan beberapa pengguna di stesen minyak tersebut melarikan diri kerana bimbang perkara buruk berlaku.

Bagaimanapun, katanya, selepas kira-kira 30 minit mengamuk, suspek kemudiannya berjaya ditahan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

"Setelah berjaya ditahan suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis yang menerima laporan kejadian itu sebelum bergegas ke lokasi kejadian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk tindakan lanjut.

Jelas Mohd Said, pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan hasil saringan ujian air kencing terhadap suspek mengesahkan suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya lagi, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 6(1)( c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.