Lepasan SMPC berpeluang terima Sijil Kemahiran Malaysia

Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran (tiga, kanan) melawat ruang tapak pameran pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Dong Zong Dengan Kementerian Sumber Manusia dan Pameran Pendidikan Vokasional di Kolej Universiti New Era, hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Pelajar aliran teknikal dan vokasional di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) kini berpeluang mengikuti program latihan di 32 Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) dan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata kementerian juga bakal menawarkan Kursus Sijil Pengajar Vokasional (VTO) kepada pengajar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dari sekolah yang memenuhi syarat dan terma ditetapkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

“Kementerian boleh membenarkan kemasukan pelajar dari sekolah-sekolah di bawah Dong Zong mengikuti program latihan di ILJTM yang merangkumi 23 Institut Latihan Perindustrian (ILP), lapan Pusat Latihan Tinggi (ADTEC) dan sebuah Institut Teknikal Jepun-Malaysia melalui Ujian Kecenderungan Kemahiran.

“Kementerian juga boleh menganugerahkan SKM Tahap 3 dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 kepada pengajar TVET secara Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) mengikut syarat ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman mengenai perkara itu antara Kementerian Sumber Manusia dan Dong Zong di Kajang dekat sini hari ini.

Beliau berkata kementerian juga akan mempertimbangkan permohonan pinjaman atau biasiswa kepada pelajar yang layak serta mematuhi syarat dan terma untuk melanjutkan pengajian dalam program TVET, VTO dan lain-lain.

Katanya langkah untuk membuka peluang kepada lepasan SMPC adalah penting bagi mengisi kelompongan bangsa bukan Melayu yang jumlahnya terlalu rendah di institusi TVET, selain memenuhi keperluan pasaran pekerjaan di bidang tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Dong Zong Tan Tai Kim berkata pendidikan TVET bermula pada 1987 di SMPC dan kini terdapat 19 SMPC yang menawarkan bidang tersebut dengan jumlah keseluruhan pelajar seramai 2,046 orang.

“Akan tetapi masalah pengiktirafan sijil vokasional telah memberi kekangan kepada pelajar yang menyertai program ini maka dengan termeterainya MoU ini ia memberi harapan kepada pelajar untuk meneruskan impian mereka,” katanya.

Selain dapat meneruskan pengajian di ILJTM, MoU itu juga untuk membantu Dong Zong dan SMPC dalam usaha permohonan menjadi Pusat Bertauliah yang berdaftar dengan JPK. – Bernama