Anak bunuh bapa kerana harta didakwa

Karesh Kumar Sharma dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya, hari ini.
Karesh Kumar Sharma dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya, hari ini.
A
A
A

IPOH - Seorang anak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan membunuh bapanya, dua minggu lalu.

Karesh Kumar Sharma, 21, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Umzarul An-nur Umar namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa telah membunuh R Pardeep Kumar, 56, antara jam 4.30 petang sehingga 7 malam di sebuah rumah di Taman Bercham Sinar di sini, 9 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Mohammad mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 26 Jun ini bagi sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.

Difahamkan adiknya berusia 20 tahun yang ditahan bersama dalam kes itu telah diberi jaminan polis.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, angkara harta dua-beradik tergamak menghentak kepala bapa mereka sehingga maut dalam satu pergaduhan di sebuah rumah di Taman Bercham Sinar di sini.

Tindakan kedua suspek itu memakan diri apabila mereka ditahan polis selepas bapa mereka, R Pardeep meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN Dua beradik hentak kepala bapa hingga maut angkara harta