Penyamun kena cekup, polis tangkap lepas tiga jam kejadian

No Image Caption
A
A
A

KULAI - Seorang lelaki dicekup polis selepas tiga jam merompak sebuah rumah di Jalan Ibrahim semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, suspek yang berusia 29 tahun itu ditahan di Jalan Matahari, Indahpura pada hari sama kejadian.

“Semalam kira-kira jam 12.50 tengah hari, kita menerima laporan berlaku kecurian di dalam rumah beralamat di Jalan Ibrahim.

"Mangsa mengadu beg sandang miliknya diletakkan di atas meja di ruang tamu rumah itu hilang," katanya kepada Sinar Harian.

Bertindak atas maklumat, Beng Yeow berkata, polis akhirnya berjaya memberkas suspek kira-kira jam 3 petang bersama beg sandang berwarna hitam, pasport antarabangsa, telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM329 serta wang Dollar Singapura 146 (RM443).

“Soal siasat mendapati suspek mengaku terlibat dengan kes tersebut.

"Suspek telah ditahan dan dimasukkan ke dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai dan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulai untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: