MAHB struktur semula aliran pergerakan penumpang KLIA

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PENGENDALI lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), dengan kerjasama Kastam Diraja Malaysia (KDM) menstruktur semula aliran pergerakan penumpang di balai ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 bagi mengurangkan kadar kesesakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin dalam kenyataan hari ini berkata inisiatif itu yang dilaksanakan bermula hari ini di KLIA dan 1 Jun di klia2 juga adalah bagi meningkatkan tahap keselamatan negara semasa proses deklarasi barangan yang dibawa masuk ke dalam negara kepada pihak kastam.

"Kesesakan di balai ketibaan ini dijangka berkurangan dengan penggunaan empat mesin pengimbas serta pewujudan enam laluan keluar bagi para penumpang berbanding satu laluan sebelumnya," katanya.

Raja Azmi berkata empat unit mesin pengimbas tersebut akan ditambah menjadi sembilan unit kesemuanya bagi mencapai matlamat 100 peratus penggunaan mesin pengimbas.

"Buat masa ini, pihak MAHB telah memasang beberapa struktur fizikal seperti penghadang di kawasan pemeriksaan kastam bagi melancarkan proses penstrukturan semula aliran pergerakan ini dijalankan," katanya.

Raja Azmi berkata penstrukturan semula itu dibuat susulan Mesyuarat KLIA One Stop Centre yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik hari ini sebagai persediaan bagi Tahun Melawat Malaysia 2020. - Bernama

Artikel Berkaitan: