Dua lelaki terjatuh dari pencawang bukan kontraktor TM

A
A

KOTA KINABALU - Telekom Malaysia Berhad (TM) menjelaskan bahawa dua lelaki yang cedera parah selepas terjatuh di sebuah menara pencawang di Kampung Kuala Abai Kota Belud dekat sini pada Isnin lepas bukan kontraktor di bawah syarikat telekomunikasi itu.

TM dalam satu kenyataan hari ini juga menjelaskan bahawa menara pencawang tempat kejadian itu berlaku juga bukan milik TM.

"TM sentiasa meletakkan keselamatan sebagai keutamaan bagi semua pekerjanya dan kontraktor, terutamanya mereka yang bekerja di tempat yang tinggi dan ruang terkurung.

"Kami mempunyai garis panduan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (OSHE) yang digubal dan kami terus melatih dan membimbing kontraktor kami," katanya dalam kenyataan itu.

Dalam kejadian itu, dua lelaki berusia 48 dan 28 tahun patah tangan dan kaki selepas terjatuh dari sebuah menara pencawang dan tersangkut di ketinggian 30.48 meter dalam kejadian kira-kira 4.30 petang.

Menurut Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan sama iaitu patah tangan kanan dan kaki kanan serta bahagian muka.

Mangsa berjaya diturunkan rakan sekerja sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian. - Bernama