Pengurus syarikat dijel tujuh hari kerana memberi suapan

Tertuduh hadir di Mahkamah Sesyen, di sini.
Tertuduh hadir di Mahkamah Sesyen, di sini.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Seorang pengurus syarikat dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini kerana menyogok penjawat awam, Julai lalu.

Tertuduh, Toh Jenn Shyang, 38 turut diarahkan Hakim, Kamarudin Kamsun untuk menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, Jenn Shyang didakwa secara rasuah memberi satu suapan iaitu wang tunai RM5,100 kepada penolong penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Shahrul Nizam Abu Samah.

Perbuatan itu dilakukan sebagai dorongan supaya tidak diambil tindakan ke atas syarikatnya kerana menyimpan barang kawalan berjadual iaitu baja tanpa lesen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di dalam gudang beralamat Lot 14477, Kampung Kebun Sayur, Bakri, Muar kira-kira jam 10.20 pagi, 6 Julai lalu.
Artikel Berkaitan:


Jenn Shyang dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Anis Redza Mohamad Anuar manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.