Keselamatan di Sabah, Labuan ditingkatkan sempena Aidilfitri, Kaamatan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LABUAN - Agensi penguatkuasaan di Sabah dan Labuan meningkatkan aspek keselamatan di pulau bebas cukai ini dan perairannya untuk memastikan keselamatan terus terjamin dan terpelihara, semasa dan selepas sambutan Aidilfitri dan Kaamatan.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata polis marin mengambil langkah untuk meningkatkan kekuatannya bagi memastikan keselamatan dan memantau perairan Sabah dan Labuan sepanjang musim perayaan itu.

“Kekuatan kami sepanjang sambutan dua perayaan ini digalas oleh 357 anggota dengan 24-30 kapal peronda untuk mengawasi kawasan laut yang luas,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata hanya 10 peratus anggota polis marin Sabah dan Labuan dibenar mengambil cuti semasa Aidilfitri dan Kaamatan.

“Penyeludup dan penjenayah yang terlibat dalam aktiviti rentas sempadan secara haram beranggapan kawalan keselamatan semasa musim perayaan sudah pasti longgar, tetapi bagi kami, inilah masanya kawalan keselamatan ditingkatkan,” kata Pajeri.

Sementara itu, Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata hampir 90 peratus anggota polis di Labuan akan bertugas semasa Aidilfitri dan Kaamatan.

"Polis mesti bersiap sedia untuk memastikan keselamatan terjamin dan menjalankan rutin pencegahan jenayah, terutama di pinggir bandar dan kampung, untuk mengelak kemungkinan kejadian pecah rumah,” kata Farid.

Beliau juga mengingatkan penduduk yang tiada di rumah semasa perayaan itu agar memastikan kediaman mereka dikunci dengan betul dan memaklumkan balai polis terdekat dengan mengisi borang balik kampung supaya rondaan boleh dijalankan di kawasan mereka.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Zainal Madasin pula berkata pegawai dan anggotanya akan bertugas secara shif 24 jam, dan akan bersedia sekiranya berlaku kecemasan.

Hanya 20 peratus daripada 210 pegawai dan anggota bomba di Labuan, layak mengambil cuti Aidilfitri pada tahun ini, katanya. - Bernama