APAD luluskan 256 bas tambahan sempena Aidilfitri

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) meluluskan 256 bas tambahan melalui permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) Perayaan bagi menampung permintaan tiket untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri 2023.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jumlah bas tambahan yang diluluskan APAD tahun ini adalah 1.5 kali ganda berbanding pada 2022 (98 bas tambahan).

"Ini menunjukkan terdapat peningkatan permintaan daripada pengguna sekali gus mencerminkan tanda-tanda pemulihan ekonomi negara khususnya dalam sektor pengangkutan awam selepas negara beralih kepada fasa peralihan endemik pada 1 April 2022,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada Rabu.

Menurutnya, bas-bas tambahan yang diluluskan disaring bagi mematuhi semua kriteria permohonan seperti yang telah diluluskan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), pemasangan GPS dan perlu sentiasa berfungsi bagi memantau pergerakan serta merekod kelajuan kenderaan.

Katanya, pengendali TBS telah mengambil langkah-langkah persediaan untuk menampung jumlah penumpang yang tinggi bermula 18 April hingga 22 April antaranya penambahan kakitangan, kaunter tiket dan kaunter pertukaran tiket.

Selain itu, beliau berkata, turut dilaksanakan ialah keselamatan 24 jam oleh Unit Polis Bantuan, pemantauan keselamatan berterusan melalui 623 buah kamera litar tertutup (CCTV), menambah kakitangan terminal bagi mengawal pengurusan trafik dan laluan di sekitar terminal dan mengadakan operasi bersepadu dengan pihak berkuasa.

Anthony berkata, pihak TBS turut mengambil inisiatif untuk memastikan status tiket dan sebarang makluman jadual perjalanan dikemas kini di Sistem Paparan Maklumat Pengguna dan semua saluran media sosial seperti laman sesawang TBS, Facebook, Instagram dan Twitter.

Katanya, turut diperkenalkan ialah konsep tanpa kertas dengan menggunakan kod QR bagi pembelian tiket secara dalam talian iaitu penumpang hanya perlu mencetak dan boleh terus ke Balai Pelepasan selepas mengimbas Kod QR di Auto Counter Gate (AGC) bagi mengurangkan kesesakan di kaunter dan pintu masuk utama Balai Pelepasan.

"Perkara ini dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan beratur di terminal khususnya di musim-musim perayaan,” katanya dan menambah sehingga 17 April beberapa Penyedia Sistem Tiket Online (OTA) utama iaitu GoHub, BusOnlineTicket dan RedBus telah berjaya melaksanakan integrasi sistem dengan TBS secara berperingkat.

Beliau berkata, penumpang yang telah membeli tiket daripada OTA tersebut akan menerima notifikasi kod QR yang disertakan dengan logo GoPass dan boleh terus ke Balai Pelepasan terminal untuk menaiki bas.

Anthony berkata, bagi penumpang yang membuat pembelian melalui tiga penyedia OTA sebelum tarikh pelaksanaan integrasi, pihak penyedia OTA akan menghantar notifikasi kod QR melalui emel yang didaftarkan penumpang ketika membuat pembelian tiket.

"Penumpang boleh terus ke Balai Pelepasan terminal untuk menaiki bas. Langkah ini dapat mengatasi masalah penumpang terlepas bas kerana menunggu kod QR,” katanya.- Bernama