Tiada imbuhan Aidilfitri untuk peneroka Felda

Azmin menyampaikan sumbangan pada Majlis Program Sumbangan Eidul Fitri Parlimen ­Gombak & DUN Bukit Antarabangsa sebentar tadi.
A
A

GOMBAK - Tiada bonus atau imbuhan sempena Aidilfitri tahun ini kepada peneroka-peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebaliknya kerajaan dalam usaha memastikan pembayaran pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil disalurkan sebelum Aidilfitri.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata, beliau percaya peneroka-peneroka Felda sedia maklum berhubung kedudukan kewangan negara yang menjadi kekakangan kepada kerajaan.

Bagaimanapun menurutnya, keutamaan kerajaan kini adalah memastikan nasib dan kebajikan mereka dapat dibela untuk jangka masa panjang.

“Itu kita telah selesaikan kertas putih baru-baru ini yang menelan jumlah RM6.3 billion. Bagi saya ia keutamaan yang perlu diberi perhatian kerana kita mahu keutamaan jangka panjang. Kita tidak mahu perbelanjaan yang tidak memberi manfaat kepada peneroka.

“Kerajaan komited membantu peneroka bukan sahaja menyelesaikan masalah pendahuluan hasil dan pembayaran sara hidup tetapi kita juga memperkenalkan model baru untuk menjamin produktiviti dan pendapatan yang lebih baik.

“Setakat ini tidak ada (imbuhan Aidifitri) kerana kita mahu salurkan dulu pinjaman sara hidup dan juga pendahuluan hasil.

"Saya mahu pastikan semua wang ini disalurkan sebelum hari raya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Program Sumbangan Eidul Fitri Parlimen Gombak & DUN Bukit Antarabangsa sebentar tadi.

April lalu, Mohamed Azmin membentangkan kertas putih di Dewan Rakyat di mana kerajaan akan memperuntuk RM6.3 bilion bagi memulihkan Felda.

Dokumen tersebut menyebut pemberian itu bagi menguruskan liabiliti Felda sebanyak RM14.4 bilion kerana agensi itu mempunyai masalah aliran tunai yang kritikal.

Bantuan akan disalur melalui geran, pinjaman dan jaminan kerajaan.