Dua kapal kargo belayar tanpa jurutera, kapten ditahan

No Image Caption
A
A
A

LABUAN - Dua buah kapal kargo yang belayar tanpa jurutera dan kapten kapal ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan, semalam.

Kapal pertama ditahan kira-kira 6.4 batu nautika dari barat Padas bay,di perairan Beaufort pada jam 8.40 pagi semasa operasi rutin sekitar perairan Labuan dan sekitarnya.

Ketua Penguatkuasaan APMM Labuan, Kapt Maritim Adnan Md Isa, berkata kapal yang dikendalikan oleh seorang rakyat Malaysia berusia 56 tahun bersama dua warga Filipina berumur 37 dan 42 (dengan dokumen perjalanan yang sah) dalam pelayaran sekitar barat Teluk Padas, di perairan Beaufort.

"Apabila diperiksa, pasukan penguatkuasa mendapati kapal tersebut mempunyai anak kapal yang tidak mencukupi di atas kapal, dan gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Bot 1953, “ katanya kepada Bernama dalam satu kenyataan hari ini.

Kegagalan mematuhi Peraturan tersebut boleh dikenakan denda maksimum RM10, 000 atau kompaun sebanyak RM5,000.

Pada hari yang sama di lokasi yang berlainan, kira-kira 7.2 batu nautika dari barat Padas bay, di perairan Beaufort, sebuah lagi kapal kargo ditahan pada 9.30 pagi kerana dikendalikan oleh seorang warga Indonesia berusia 33 tahun, yang namanya tidak tercatat dalam lesen sebagai kapten kapal, dan ini merupakan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Bot 1953.

Che Adnan berkata kapal tersebut bersama empat kru rakyat Malaysia berusia antara 25 dan 54, sedang dalam pelayaran mengangkut air bersih di sekitar perairan Beaufort.

"Siasatan masih dijalankan terhadap kedua-dua kapal," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: