Lima direman curi peti besi maahad tahfiz

A
A
A

SUNGAI PETANI - Lima remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun termasuk tiga pelajar maahad tahfiz ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan kehilangan peti besi sekolah mereka.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, seorang pelajar ditahan di sekolah terbabit manakala dua lagi di luar kawasan sekolah.

Menurutnya, salah seorang remaja lagi dikesan merupakan bekas pelajar maahad tahfiz sama yang terletak di Kota Kuala Muda manakala seorang lagi ahli kumpulan berkenaan adalah rakan mereka.

"Kejadian disedari apabila warden ternampak bahawa salah satu bilik pejabat dalam maahad telah dipecah masuk dan peti besi seberat 200 kilogram telah tiada pada jam kira-kira 11 pagi lebih kurang tiga minggu lalu.

"Siasatan dalaman yang dilakukan pihak pengurusan warden mendapati kejadian berlaku lebih kurang jam dua pagi di mana ada pelajar telah membuka pintu pejabat itu dan membawa keluar peti besi.

"Hasil siasatan ke atas pelajar, empat individu telah dipanggil dan telah menemui semula peti besi dibuang ke dalam sungai berjarak kira-kira 500 meter dari maahad," katanya.

Difahamkan, setelah peti besi itu dibawa naik oleh suspek, didapati terdapat kesan pintu peti besi telah diumpil dan barang dalam peti itu telah tiada.

Menurutnya, kali terakhir peti besi itu dilihat pada 11 April lalu di mana batu permata seperti zamrud, delima, arked, kain miswah kaabah, keris kecil dan wang syiling dalam uncang adalah harta peninggalan arwah pengasas maahad tahfiz berada dalam keadaan baik.

Artikel Berkaitan:

Adzli berkata, hasil siasatan awal,suspek telah bawa peti besi itu dan buang ke dalam sungai jarak lebih kurang 500 meter menggunakan kereta sorong.

Difahamkan, pihak pengurusan hanya masuk dalam bilik tempat simpanan peti besi itu lebih kurang dua atau tiga bulan sekali untuk bersihkan bilik berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.