Masalah penempatan anggota bawahan dipandang serius

Abdul Hamid (kiri) bersama Hasanuddin (kanan) dalam sesi taklimat di Markas Taktikal PGA di Lubok Stol.
Abdul Hamid (kiri) bersama Hasanuddin (kanan) dalam sesi taklimat di Markas Taktikal PGA di Lubok Stol.
A
A
A
RANTAU PANJANG - Masalah penempatan menjadi isu berbangkit yang dihadapi oleh anggota polis berpangkat rendah ketika ini terutama mereka yang bertugas di Lembah Kelang.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, maklumat tersebut adalah hasil lawatan mengejut yang dilakukan oleh beliau ke beberapa buah balai sebelum ini.

"Dengan gaji rendah dan kos sewa rumah yang agak tinggi bagi mereka (anggota) agak sukar untuk menampungnya sekali gus memberikan kesan dalam kehidupan anggota bawahan.

"Situasi itu menyebabkan elaun-elaun sewa rumah yang diperuntukkan oleh kerajaan tidak cukup untuk menampung kos tersebut (sewa rumah)," katanya.

Terdahulu beliau meluangkan masa melakukan tinjauan di sempadan Malaysia-Thailand.

Turut hadir Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Khaled Che Lah, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah dan Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9 Kuala Terengganu, Superintanden Ramly Poncho.

Menurutnya, memburukkan lagi keadaan rumah yang anggota mampu sewa ketika ini terletak jauh dari tempat bertugas.

Katanya, situasi itu menambahkan lagi kos yang terpaksa ditanggung oleh anggota.

"Sebab itulah saya turun padang sebab mahu melihat sendiri betapa getirnya cabaran yang terpaksa dihadapi mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Hamid berkata, hasil tinjauan ini akan dibawa ke mesyuarat tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, beliau berharap apabila isu tersebut dibangkitkan kerajaan dapat melakukan sesuatu dalam menjaga kebajikan anggota bawahan polis.

"Saya faham tentang kedudukan kewangan negara ketika ini, tetapi kita tidak terlalu mendesak supaya permintaan itu dipenuhi sepenuhnya.

"Kita akan berikan keutamaan kepada perkara-perkara penting dahulu. Kami sanggup menunggu sehingga keadaan kewangan betul-betul 'sihat' baharu rayuan akan dibuat supaya permohonan itu dapat dipenuhi sepenuhnya," katanya.

Mengulas mengenai isu kebanjiran warga asing di negara ini terutama Afrika, Abdul Hamid berkata, beliau telah arahkan anggotanya untuk mengadakan tinjauan ke lokasi-lokasi terbabit.

Katanya, bukan itu sahaja serbuan akan turut dilakukan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti menjadi 'port' warga Afrika.