102 ditahan tak puasa di Johor

Penguatkuasa JAINJ menyerbu port makan di siang hari sekitar Johor. - Foto ihsan JAINJ
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 102 individu di seluruh daerah ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) atas kesalahan tidak berpuasa dan makan di tempat awam sehingga jam 5 petang semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAINJ, Halid Sono berkata, pelbagai alasan diberikan ketika perbuatan tersebut dikesan pegawai penguat kuasa.

"Setakat semalam jam 5 petang bersamaan 16 Ramada, kita tangkap 102 individu di bawah Seksyen 15(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 iaitu secara terbuka makan, minum atau menghisap rokok atau perkara lain.

"Apabila kita dapat tahan memang pelbagai alasan diberi. Tak tahan puasalah, gastrik, sakit perut dan macam-macam lagi nak mengelak," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, kesemua lelaki berusia antara 18 hingga 55 tahun itu ditahan di kedai makan, dalam kenderaan serta tapak pembinaan.

Daerah Mersing mencatatkan angka paling ramai tangkapan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 Seksyen 15(b) itu dengan 28 orang.

Tangkapan di daerah lain yang direkodkan ialah Kluang 14 orang, Johor Bahru 12 orang, Kota Tinggi 11 orang, Batu Pahat dan Kulai 10 orang, Muar enam orang, Segamat lima orang, Tangkak empat orang dan Pontian dua orang.

Umat Islam dikesan makan di kedai secara terbuka pada bulan Ramadan. Kredit JAINJ. - Foto ihsan JAINJ
Umat Islam dikesan makan di kedai secara terbuka pada bulan Ramadan. Kredit JAINJ. - Foto ihsan JAINJ

Sementara itu, bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(a) akta sama, sembilan individu ditangkap kerana menjual makanan, minuman, rokok atau benda lain untuk dimakan, diminum atau dihisap serta merta kepada orang Islam.

Menurut Halid, kesemua individu terlibat telah diberikan saman untuk hadir pada tarikh tertentu ke pejabat agama daerah untuk dirakam keterangan.

"Kita tidak tahan mereka tapi kita keluarkan saman hadir dan jika mereka gagal hadir barulah waran tangkap dikeluarkan.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya," katanya.

Katanya, operasi akan terus dijalankan pihaknya sepanjang Ramadan ini di seluruh Johor.

Beliau menasihatkan orang awam agar lebih prihatin, peka serta menghormati kesucian bulan Ramadan dengan tidak melakukan perkara yang bercanggah dan bertentangan dengan ajaran Islam.