Siasat segera punca kadar garam tinggi di Sungai Melaka

Pemandangan di Jeti Melaka River Cruise di Taman Rempah, Sungai Melaka. (Gambar kecil: Kamaruddin Sidek)
Pemandangan di Jeti Melaka River Cruise di Taman Rempah, Sungai Melaka. (Gambar kecil: Kamaruddin Sidek)
A
A
A

MELAKA TENGAH - Pas Melaka mendesak satu siasatan menyeluruh dilakukan kerajaan negeri terhadap isu pencemaran Sungai Melaka berikutan dakwaan ia mengandungi kandungan kadar garam yang tinggi.

Pesuruhjaya Pas negeri, Kamaruddin Sidek menegur kenyataan rasmi dikeluarkan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew semalam yang dianggapnya kurang memuaskan kerana mendakwa punca pencemaran disebabkan faktor air laut yang mengandungi kandungan kadar garam yang tinggi.

“Isu Sungai Melaka tercemar perlu satu siasatan menyeluruh terlebih dahulu sebelum satu kenyataan rasmi dikeluarkan. Kononnya faktor air laut yang mengandungi kandungan kadar garam yang tinggi, saya rasa pelik kerana isu ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Kalau kadar garam air laut meningkat, apa pula faktornya berlaku sedemikian?. Saya harap biarlah siasatan menyeluruh oleh pihak terbabit dahulu, baru keluar kenyataan rasmi. Rakyat bimbang seolah-olah ada sesuatu yang ingin disembunyikan di sebalik isu tersebut,” katanya di sini hari ini.

Dalam kenyataan dibuat Kok Kiew semalam, hasil siasatan awal mendapati punca ikan mati bukan disebabkan pencemaran toksik seperti yang dilaporkan namun dipengaruhi air laut hinggakan kandungan garam meningkat dan tidak sesuai untuk spesies tilapia.

Menurutnya, perubahan cuaca yang sudah lama tidak hujan sejak kebelakangan ini turut menyebabkan berlaku mendapan hingga air sungai menjadi kehitaman dan bukannya disebabkan pencemaran.

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri juga telah mengambil sampel di tujuh lokasi dan satu sampel pengawasan kualiti air sungai untuk dianalisa Jabatan Kimia.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin berkata, keadaan di Sungai Melaka kini terkawal dan operasi bot pelancongan Melaka River Cruise berjalan seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

“Tiada lagi bangkai ikan yang baharu kelihatan, cuma yang ada sisa-sisa bangkai kesan daripada kes dua hari lalu dan operasi pembersihan di Sungai Melaka masih diteruskan,” katanya.

Sinar Harian, 20 Mei lalu melaporkan operasi perkhidmatan bot Melaka River Cruise mungkin terpaksa dihentikan sementara jika tahap pencemaran yang berlaku di sepanjang kira-kira 3km di Sungai Melaka menjadi semakin teruk.

Keadaan itu selepas mendapati air di sungai terbabit berwarna gelap dan berbau busuk malah terdapat banyak bangkai ikan yang ditemui terapung.