Syarikat perlombongan janji bayar ganti rugi

Abbas (dua, kanan) ketika bertemu dan berbincang dengan syarikat berkaitan.
Abbas (dua, kanan) ketika bertemu dan berbincang dengan syarikat berkaitan.
A
A
A
DUNGUN - Sebuah syarikat perlombongan bijih besi berjanji akan bertanggungjawab dan membayar ganti rugi di atas kerosakan yang berlaku akibat kejadian banjir lumpur di Bukit Besi, sabtu lalu.

Musibah tersebut dikesan berpunca daripada empangan takungan air (dam) milik syarikat perlombongan bijih besi di kawasan itu pecah secara tiba-tiba.

Hujan lebat berterusan menyebabkan dam yang digunakan untuk kerja-kerja pembersihan bijih besi pecah, tambahan pula ia di bina di lereng bukit mengakibatkan kejadian banjir lumpur.

Walaupun tiada kemalangan jiwa, beberapa buah rumah dan sebuah gelanggang futsal terjejas akibat musibah itu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Cawangan Perumahan Bukit Besu, Abas Ghani berkata, pihaknya mengambil inisiatif untuk bertemu dan berbincang dengan syarikat bertanggungjawab bagi mencari penyelesaian berhubung masalah itu.

Menurutnya, kata sepakat diperoleh apabila syarikat tersebut berjanji akan membayar kerugian terhadap rumah-rumah terjejas.

"Mereka mengatakan apa yang berlaku adalah di luar jangkaan.

" Pertemuaan dilakukan untuk mencari jalan damai dan penyelesaian.

"Dalam tempoh 60 tahun, bencana seperti ini tidak pernah berlaku dan kita percaya ia disebabkan pembinaan dam yang tidak strategik.
Artikel Berkaitan:


" Bagaimanapun, syarikat tersebut berjanji akan bayar ganti rugi terhadap tiga buah rumah dan gelanggang futsal serta jumlah kerugian akan dibuat tafsiran," katanya.

Manakala, Penjaga gelanggang futsal, Ibrahim Jusoh melahirkan rasa lega apabila dimaklumkan pihak syarikat terbabit akan menampung segala kos kerosakan.

"Kita harap gelanggang ini dapat dibaik pukih dengan segera demi manfaat orang ramai.

"Anak muda dikawasan Bukit Besi memang memanfaatkan sepenuhnya gelanggang ini dan hasil pendapatan setiap hari mencecah RM 400," katanya.