Dua pegawai, lima anggota polis ditahan kes samun

Mazlan Lazim
Mazlan Lazim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua pegawainya berpangkat inspektor serta lima anggota bagi membantu siasatan membabitkan satu kes samun seorang ahli perniagaan, pada Ahad lalu.

Kesemua pegawai serta anggota terbabit ini ditahan kelmarin dan direman selama empat hari sehingga Jumaat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, semakan mendapati dua pegawai berkenaan masing-masing bertugas di Maktab Teknik PDRM, Muar dan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Menurutnya, lima anggota lain termasuk seorang dari IPD Petaling Jaya, tiga dari Balai Polis Sea Park dan seorang dari Balai Trafik, Jalan Bandar.

"Turut ditahan semalam (21 Mei) adalah empat orang awam termasuk seorang kakitangan Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 31 hingga 41 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pada Ahad lalu, kira-kira jam 4.40 petang, seorang ahli perniagaan membuat laporan polis menyatakan semasa dia berada di premisnya di Jalan Silang, Kuala Lumpur, telah didatangi sembilan individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis Bukit Aman dari Bahagian Jenayah Perdagangan dan Pegawai BNM.

Ahli perniagaan terbabit dikatakan menjalankan perniagaan pengurup wang tanpa lesen.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian tersebut, ahli perniagaan terbabit mendakwa dirinya dan empat pekerjanya telah digari dan telefonnya diambil. Turut diambil adalah wang tunai berjumlah RM4,000 yang disimpan di dalam peti simpanan miliknya.

Malah, suspek juga telah menyerahkan wang berjumlah RM200,000 selepas diminta suspek sekiranya hendak dilepaskan.

Tegas Mazlan, pihaknya memandang serius kes ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota PDRM termasuk orang awam yang terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini diminta untuk menyalurkannya dengan menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Deputi Superintendan M Gunalan di talian 019-311 4418, Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Jefri Faizal Jimi Sham di talian 017-335 4241, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.