Dakwah kepada orang bukan Islam

Umar Mukhtar Mohd Noor
A
A

PUTRAJAYA - Islam membenarkan al-Quran terjemahan dihadiahkan kepada orang bukan Islam dengan niat untuk berdakwah dan menarik minat mereka untuk mempelajari agama Islam.

Penolong Mufti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Umar Mukhtar Mohd Noor berkata, ini kerana apa yang ada di dalam al-Quran itu bukan semata-mata perintah kepada orang Islam tetapi untuk seluruh umat manusia.

Beliau berkata, orang bukan Islam tidak dibenarkan untuk menyentuh al-Quran, sebaliknya mereka diharuskan untuk menyentuh al-Quran terjemahan jika mahu mendalami al-Quran dan Islam.

"Mengikut Jumhur, harus memberikan naskhah yang mengandungi ayat al-Quran dan lafaz-lafaz lain yang lebih banyak seperti tafsir sehingga naskhah tersebut tidak lagi dianggap mushaf al-Quran kepada orang bukan Islam," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan adakah boleh ahl-Quran terjemahan dihadiahkan kepada golongan bukan Islam yang ingin mempelajari mengenai al-Quran dan Islam.

Umar Mukhtar berkata, ALLAH SWT mengutuskan dalam kalangan orang Arab zaman dahulu daripada kalangan mereka yang bukan Islam untuk menceritakan dan membacakan ayat-ayat ALLAH.

"Bermaksud al-Quran itu sifatnya disampaikan di mana dalam al-Quran terdapat pelbagai arahan berbentuk wahai manusia. Ia merujuk kepada orang Islam dan bukan Islam yang secara keseluruhannya merujuk juga kepada manusia tanpa mengira agama," katanya.

Namun perbuatan itu mestilah menepati beberapa syarat iaitu diyakini bahawa orang bukan Islam itu memang benar-benar ikhlas mempelajari dan mendalami ajaran Islam serta penggunaannya mestilah dalam keadaan sopan dan berakhlak.

"Dalam satu artikel yang telah kami terbitkan menyatakan bahawa al-Quran terjemahan bukanlah mushaf tetapi seseorang itu diwajibkan berada dalam keadaan suci daripada hadas kecil dan besar sebelum menyentuh al-Quran.

"Imam al-Nawawi turut menyebut sekiranya tafsir atau terjemahan lebih banyak daripada kebiasaannya termasuk penjelasan dan lafaz-lafaz al-Quran itu tidak diharamkan untuk menyentuhnya," katanya.

Jelasnya, jika al-Quran terjemahan diberikan kepada orang bukan Islam dengan tujuan untuk mendekatkan mereka dengan mesej-mesej Islam ia selari dengan maqasid syariah.

Mengulas mengenai adab-adab untuk orang bukan Islam memasuki masjid dan surau pula berdasarkan pemantauan orang Islam yang adil dan percaya.

Katanya, sebagai contoh masjid-masjid di Wilayah Persekutuan meletakkan pegawai-pegawai atau pembantu pelancong yang membantu mereka yang bukan beragama Islam memasuki masjid.

"Dari segi pemakaian perlu menutup aurat kerana tidak mahu mengganggu orang Islam yang sedang menunaikan ibadah.

"Bagaimanapun, kita perlu berlapang dada, bersabar mengajak mereka dengan sebenar untuk berinteraksi dengan al-Quran seperti mana kita menghormati dan meraikan kewujudan agama-agama lain yang terdapat di sekeliling kita," katanya.

Dalam rangka World #QuranHour 30 Mei ini membawakan misi al-Kahf dan al-Quran buat seluruh manusia dengan jangkaan kehadiran di kalangan orang Islam dan bukan Islam yang ingin memahami isi al-Quran.

Yayasan Warisan Ummah Ikhlas sebagai penganjur program mendapatkan pencerahan dan nasihat dari Bahagian Penyelidikan, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dalam mengumpulkan orang ramai ke lokasi penganjuran di seluruh dunia.