Perang retorik Iran-AS

Iran didakwa telah meningkatkan projek pengayaan uranium sebanyak empat kali ganda.
Iran didakwa telah meningkatkan projek pengayaan uranium sebanyak empat kali ganda.
A
A
A

TEHRAN - Menteri Luar Iran, Javad Zarif menggesa Amerika Syarikat (AS) supaya menghormati mereka dan bukan mengeluarkan kenyataan ancaman untuk perang, sehari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengugut Tehran.

"Iran telah berdiri teguh selama ini. Keganasan terhadap ekonomi dan sebarang ugutan tidak akan 'menamatkan' Iran. Jangan ancam kami. Cuba hormati kami. Ia berkesan!' sindirnya menerusi Twitter kelmarin.

Perang retorik itu tercetus selepas Trump sekali lagi mengeluarkan kenyataan bercanggah tentang isu konflik dengan Iran dan turut mengancam negara tersebut di laman blog mikro tersebut.

Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan kesediaan untuk berunding dengan Tehran pada bila-bila masa.

Dalam satu kenyataan balas, Presiden Iran, Hassan Rouhani berkata, beliau menyambut baik langkah rundingan dan diplomasi seperti itu.

"Situasi sekarang tidak sesuai untuk berunding dan pilihan kami adalah untuk menentang," lapor agensi berita IRNA memetik kenyataan beliau.

Dalam perkembangan lain, Tehran didakwa telah meningkatkan projek pengayaan uranium sebanyak empat kali ganda di pusat kemudahan Natanz, seminggu selepas ia menggantung beberapa komitmen di bawah perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).

Di bawah perjanjian itu, Tehran hanya dibenarkan menghasilkan uranium diperkaya rendah dengan had 300 kilogram dan lebihan daripada jumlah itu perlu dihantar ke luar negara untuk simpanan atau dijual. - Agensi

Artikel Berkaitan: