Sultan Perak berangkat ke Majlis Nuzul al-Quran

Sultan Nazrin Shah (tengah) berkenan melancarkan Program Tadabbur Al-Quran sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Perak di Masjid Toh Puan Besar Hatijah Kampung Serani Batu Gajah semalam. - Foto Bernama
A
A

BATU GAJAH - Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri Perak di Masjid Toh Puan Besar Hatijah di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Exco Agama, Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi; Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, Dr Abdul Aziz Bari dan Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Baginda turut berkenan merasmikan Program Tadabur al-Quran diikuti bacaan doa sebelum berbuka puasa bersama kira-kira 1,000 rakyat di negeri ini dan kemudiannya berangkat menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berjumlah RM1.9 juta kepada lapan penghulu yang mewakili 7,610 penerima dari lapan mukim daerah Kinta. Lapan mukim berkenaan adalah Mukim Hulu Kinta, Mukim Ulu Kinta, Chemor, Mukim Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Mukim Lahat, Mukim Sungai Raja, Mukim Sungai Terap, Mukim Tanjung Tualang dan Mukim Belanja Tronoh.

Pada majlis sama, Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak, Raja Datuk Abd Jalil Raja Zaid turut menyampaikan zakat fisabilillah berjumlah RM50,000 kepada Pengerusi Masjid Toh Puan Besar Hatijah, Halizah Sipun.

Sejurus selepas itu, baginda berkenan menunaikan solat Isyak dan solat tarawih secara berjemaah dan menyertai jamuan moreh sebelum berangkat pulang.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia