27 barangan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 27 jenis barang disenaraikan mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dilaksana bermula semalam hingga 19 Jun sempena Aidilfitri ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, SHMMP dilaksanakan selama 30 hari iaitu 15 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan 14 hari selepas perayaan berbanding 15 hari pelaksanaannya sebelum ini.

“Terdapat perubahan barangan dalam SHMMP berbanding tahun lalu membabitkan ikan kembung segar beku, ikan selar segar beku, ikan selayang segar beku, kacang panjang, kacang tanah dan cili kering dimasukkan pada pelaksanaan skim tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, peniaga turut diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu pada barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain.

Beliau berkata, tindakan tegas termasuk denda dan tindakan mahkamah akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan mengikut skim itu.

“Dalam usaha melindungi pengguna, kementerian turut meningkatkan pegawai penguat kuasa di tempat terpilih yang menjadi tumpuan orang ramai melalui tindakan ‘omnipresence’.

“Ini bertujuan mewujudkan ruang persekitaran perniagaan yang selamat dan beretika melalui kehadiran pegawai penguat kuasa,” katanya.

Selain itu, KPDNHEP turut memperkukuh pemantauan harga dengan kerjasama pelbagai pihak iaitu pegawai pemantau harga, Rakan KPDNHEP dan kerajaan negeri serta agensi kerajaan termasuk pembabitan penghulu dalam usaha pemantauan serta penyaluran maklumat kenaikan harga barang.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kementerian turut mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan.

“Pengguna boleh salurkan sebarang aduan melalui portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, WhatsApp ke 0192794317, talian pusat panggilan 1800 886 800 dan aplikasi telefon pintar Ez ADU jika ada peniaga tidak mematuhi undang-undang berkenaan skim ini,” katanya. - Bernama