Polis tahan dua 'penarik kereta'

Polis telah menahan dua lelaki di sekitar Kuala Lumpur, semalam kerana dipercayai cuba melakukan pemerasan terhadap seorang wanita kerana didakwa mempunyai tunggakan bayaran kereta. Gambar kecil: Mazlan
Polis telah menahan dua lelaki di sekitar Kuala Lumpur, semalam kerana dipercayai cuba melakukan pemerasan terhadap seorang wanita kerana didakwa mempunyai tunggakan bayaran kereta. Gambar kecil: Mazlan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan dua lelaki yang dipercayai cuba melakukan pemerasan terhadap seorang wanita kerana didakwa mempunyai tunggakan bayaran kereta dalam satu kejadian di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, Jumaat lalu.

Tangkapan kedua-dua lelaki itu dibuat di sekitar Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tangkapan pertama dibuat selepas pemandu trak tunda itu tampil menyerah diri pada jam 2.20 petang, manakala rakannya pula ditahan di sebuah hotel pada jam 11.50 malam.

“Bagaimanapun, kita masih memburu seorang lagi individu dikenali sebagai Devan bagi membantu siasatan. Kita gesa agar individu terbabit segera menyerah diri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan polis turut menyiasat sama ada suspek terbabit terlibat dalam kegiatan kongsi gelap atau sebaliknya.

Semalam, satu klip video berdurasi dua minit tiga saat tular di laman Facebook memaparkan tindakan seorang lelaki ditenangkan oleh anggota polis yang bertegas untuk menarik kereta milik mangsa.

Lelaki berkenaan bersama dua lagi rakannya mendakwa mangsa mempunyai tunggakan bayaran dengan pihak bank dan kelihatan sangat meyakinkan apabila bercakap dengan anggota polis yang tiba di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Namun, wanita terbabit turut mendakwa bahawa dia tidak pernah menerima sebarang notis tunggakan atau sebarang perintah pemilikan semua daripada pihak bank.