UMK sambut baik kekalkan kuota matrikulasi

A
A

KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK menyambut baik keputusan mengekalkan kuota kemasukan 90 peratus pelajar Bumiputera dan 10 peratus bukan Bumiputera bagi program matrikulasi universiti awam.

Naib Canselor UMK, Prof Ts Dr Noor Azizi Ismail berkata, peruntukan kuota khas tersebut sebenarnya bersesuaian dan masih relevan pada hari ini selaras diumumkan oleh jemaah menteri.

Menurutnya, keputusan itu amat tepat untuk memastikan pelajar Bumiputera yang cemerlang terus mendapat peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi seterusnya dapat menambah bilangan pelajar dalam bidang sains.

Beliau berharap, keputusan mengekalkan kuota itu dapat diterima semua pihak memandangkan objektif utama program matrikulasi adalah untuk memastikan pembangunan potensi pelajar Bumiputera melalui pendidikan prauniversiti yang berkualiti.

“Secara tidak langsung, ini untuk memastikan mereka yang layak melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama di institut pengajian tinggi (IPT) terutama dalam bidang sains, teknologi dan profesional, yang mana Bumiputera masih lagi ketinggalan di belakang’.

“Bagi mewujudkan keadilan sosial, program matrikulasi adalah pilihan tepat khususnya untuk golongan golongan berpendapatan rendah (B40) Bumiputera untuk masuk ke universiti dan pada masa sama mampu bersaing untuk memperoleh peluang pekerjaan nanti,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Azizi berkata, jika terdapat prasyarat tambahan seperti bahasa diguna pakai ia akan merendahkan peluang graduan Bumiputera untuk masuk ke pasaran buruh dalam negara kelak.

Pada masa sama, beliau turut menyifatkan keputusan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk mengekalkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor.

“Kewajaran itu adalah tepat sekali untuk pendidikan yang baik dan berkualiti, terutama dalam bidang sains, serta dapat memenuhi keperluan pasaran kerja pada masa akan datang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kuota matrikulasi: Kerajaan harus pertahankan Maszlee

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tambah 40,000 tempat untuk pelajar selesai isu kuota matrikulasi

Terdahulu, isu kuota kemasukan matrikulasi menimbulkan reaksi negatif sesetengah pihak selepas Kementerian Pendidikan mengekalkan dasar asal iaitu 90 peratus tempat untuk pelajar Bumiputera dan 10 peratus tempat untuk bukan Bumiputera.

Dengan kapasiti pengambilan sebanyak 25,000 pada setiap tahun, seramai 22,500 pelajar Bumiputera berpeluang untuk melanjutkan pelajaran sementara 2,500 lagi adalah untuk bukan Bumiputera.

Noor Azizi, turut menegaskan bahawa kemasukan ke Universiti Awam berasaskan prinsip meritokrasi telah mula dilaksanakan sejak tahun 2003, manakala sistem kuota hanya dikekalkan untuk kemasukan ke Matrikulasi.

Dalam isu tersebut, beliau mahu semua pihak merujuk kepada dua dokumen bertajuk Discrimination of high degrees: Race and graduate hiring in Malaysia, Hwok-Aun Leea and Muhammed Abdul Khalid, Journal of the Asia Pacific Economy and published in 2016 Vol. 21, No. 1, pp. 53-76.

Pada 16 Mei lalu, media melaporkan Maszlee sebagai berkata, pihak yang menuntut kelonggaran bagi kuota kaum matrikulasi, juga perlu membangkitkan isu kelayakan mendapat pekerjaan yang tidak adil dan didominasi kumpulan tertentu.

Kenyataan Maszlee itu mengundang kritikan beberapa pihak, antaranya Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker; Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.