Kerajaan tambah 40,000 tempat untuk pelajar selesai isu kuota matrikulasi

Maszlee
A
A

PUTRAJAYA - Kabinet bersetuju menambah bilangan kemasukan pelajar ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan kepada 40,000 tempat, berbanding 25,000 sebelum ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, usaha itu bagi memastikan pelajar cemerlang terus mendapat peluang terbaik bagi melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, keputusan itu juga dilihat sebagai kaedah terbaik dalam memastikan Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan dapat memberikan peluang pendidikan kepada semua kaum.

"Jemaah Menteri bersetuju menambah bilangan kemasukan pelajar ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan kepada 40,000 tempat, berbanding 25,000 sebelum ini.

"Kerajaan Pakatan Harapan melihat wujud keperluan utama untuk menambah bilangan pelajar dalam bidang sains dan kapasiti yang ada pada Program Matrikulasi wajar dimaksimumkan untuk tujuan ini," katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Baru-baru ini, isu berhubung kuota kemasukan menimbulkan reaksi negatif sesetengah pihak selepas Kementerian Pendidikan mengekalkan dasar asal iaitu 90 peratus tempat untuk pelajar Bumiputera dan 10 peratus tempat untuk bukan Bumiputera.

Dengan kapasiti pengambilan sebanyak 25,000 pada setiap tahun maka seramai 22,500 pelajar Bumiputera berpeluang untuk melanjutkan pelajaran sementara 2,500 lagi adalah untuk bukan Bumiputera.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan telah membangkitkan isu berkaitan kemasukan pelajar ke Program Matrikulasi KPM pada Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini.

Maszlee berkata, Jemaah Menteri memutuskan kuota 90 peratus untuk pelajar Bumiputera dan 10 peratus untuk pelajar bukan Bumiputera turut dikekalkan, selaras dengan visi asal Program Matrikulasi KPM bagi menggalakkan pelajar Bumiputera melanjutkan pelajaran dalam bidang sains.

"Berkaitan dengan kos berikutan pertambahan jumlah pelajar ini, KPM akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik.

"Jemaah Menteri juga telah meminta KPM untuk menilai pendekatan strategik yang bersesuaian termasuk menggunakan premis dan kepakaran di Institut Pendidikan Guru bagi menampung pertambahan yang diputuskan ini," katanya.