Ini nasihat Tok Mat kepada UMNO Tebrau

Mohamad
Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR – UMNO ketika ini berada di landasan terbaik dan ahli parti tidak seharusnya mewujudkan sebarang isu yang boleh mengeruhkan suasana ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan permintaan UMNO Tebrau supaya Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terus bercuti atau melepaskan jawatan demi kepentingan parti adalah kurang wajar.

Mohamad yang kini menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO sejak 20 Disember tahun lalu berkata, UMNO kini sudah tenang dan pemimpin di segenap peringkat sedang berusaha menyatukan padukan ahli agar parti dapat bangkit semula untuk memperkasakan UMNO.

Hal demikian, ADUN Rantau itu berkata, sepatutnya pimpinan dan ahli-ahli UMNO perlu mengelakkan daripada membuat kenyataan-kenyataan yang boleh mengundang ombak pergolakan dalaman parti.

“Sekarang ini kita semua di bulan puasa. Tumpukan kepada banyak kerja-kerja amal di kawasan masing-masing. UMNO dah tenang, cuba elakkan dari membuat kenyataan yang boleh mengeruhkan suasana yang tenang ini.

“Kita (UMNO) ikutlah status quo yang ada sekarang,..iaitu saya menjalankan tugas-tugas Presiden sepanjang Presiden, Datuk Seri (Ahmad Zahid) bercuti. Bukankah sudah elok begini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau menambah, bagi memastikan kelancaran gerak kerja UMNO, adalah lebih baik sekiranya ahli-ahli memberi sokongan bukannya membangkitkan desakan yang boleh mengeruhkan ketenangan parti.

Ahmad Zahid pada 18 Disember lalu mengumumkan bercuti daripada jawatan tersebut dan menyerahkan tugas kepada timbalannya, Mohamad susulan berdepan dengan pelbagai pertuduhan di mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN: Zahid serah tugas kepada Tok Mat

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang berkata, parti itu kini lebih diyakini rakyat di bawah kepimpinan Mohamad.

"UMNO dilihat stabil dan mula kembali mendapat keyakinan masyarakat khususnya orang Melayu di bawah kepimpinan Tok Mat Hassan yang dilihat lebih diyakini dan bersih di mata masyarakat.

"Zahid perlu terus bercuti atau berhenti. Berhentilah acah-acah nak balik (sebagai Presiden UMNO) kerana ia tidak baik untuk parti," katanya dalam satu kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN: Zahid diminta terus bercuti, lepaskan jawatan

Menurut Maulizan, terdapat gerakan membawa Ahmad Zahid mengambil semula kerusi presiden parti.

"Gerakan ini dibawa penyokong Ahmad Zahid dan bunga-bunga ke arah itu juga telah dinyatakan oleh beliau sendiri dalam rencana akhbar baru-baru ini.

"Tindakan Zahid dan penyokong rapat beliau bukanlah sesuatu yang baik untuk UMNO bangkit dan bergerak ke hadapan,” katanya.