Sultan Selangor berkenan terima zakat perniagaan RM10.8 juta

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima replika cek zakat perniagaan MalaysiaAirports Holdings Berhad (MAHB) berjumlah RM4,414,826.00 daripada Pengurus Besar Kewangan MAHB, Ahmad Rizal Omar (kiri) pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat (Ihya' Ramadan) Dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1440H di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, hari ini. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada enam syarikat korporat berjumlah kira-kira RM10.8 juta bagi pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini hari ini.

Baginda menerima bayaran zakat berkenaan masing-masing sebanyak RM4,414,826 dari Malaysia Airports Holdings Berhad, RM1,761,293.03 dari Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Universiti MAHSA yang diwakili oleh Pengerusinya, Prof Tan Sri Dr Mohamed Haniffa Abdullah menunaikan zakat berjumlah RM1,320,000.

Turut membayar zakat perniagaan pada hari ini adalah Kumpulan Syarikat Rafulin Holdings Sdn Bhd berjumlah RM1,339,820, dan masing-masing RM1 juta dari Sime Darby Property dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor.

Di majlis berkenaan juga, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan bantuan zakat berjumlah RM219,500 kepada 439 orang asnaf sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut awal bulan hadapan.

Kesemua mereka menerima bantuan wang zakat sebanyak RM500 setiap seorang.

Turut hadir mengiringi baginda Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia