Polis Marin rampas 2,636 karton rokok seludup bernilai RM388,986

A
A

KLANG - Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang merampas 2,636 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM388,986.33 termasuk cukai dalam dua serbuan berasingan di Batu Belah dan Batu Nilam, Klang dekat sini petang semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, ACP Rosman Ismail berkata, dalam operasi pada kira-kira pukul 3 petang itu, anggota dari Unit Risikan Marin Pelabuhan Klang telah mengekori sebuah kenderaan yang dipandu oleh suspek lelaki berusia 46 tahun yang disyaki membawa rokok seludup di sekitar pekan Kapar.

"Pasukan ini telah mengekori kenderaan itu sehingga ia berhenti di hadapan sebuah rumah di Batu Belah dan kemudian bertindak menahan suspek semasa hendak memasuki rumah itu."

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek, pihak kami telah menjumpai sebanyak 486 karton rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai, hasil pemeriksaan ke atas rumah berkenaan bagaimanapun tidak menjumpai sebarang rokok seludup," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya pihaknya kemudian bertindak menyoal siasat suspek dan hasilnya telah membawa kepada serbuan kedua pada kira-kira pukul 4 petang di hari yang sama di sebuah rumah di Batu Nilam, Klang dan menemui sebanyak 2,150 karton rokok seludup pelbagai jenama.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rokok dan kenderaan yang dirampas dianggarkan bernilai RM413,986.33 termasuk cukai serta kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Menurutnya, kenderaan dan rokok yang dirampas kemudian telah dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang bagi siasatan lanjut. - Bernama