Sungai Melaka bertukar warna hitam, bau busuk

Pemandangan Sungai Melaka. Gambar kanan: Ribuan bangkai ikan yang ditemui terapung di Sungai Melaka
Pemandangan Sungai Melaka. Gambar kanan: Ribuan bangkai ikan yang ditemui terapung di Sungai Melaka
A
A
A

MELAKA - Operasi perkhidmatan bot Melaka River Cruise mungkin terpaksa dihentikan sementara jika tahap pencemaran yang berlaku di sepanjang kira-kira 3 kilometer di Sungai Melaka menjadi semakin teruk.

Demikian dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin selepas mendapati air di sungai terbabit berwarna gelap dan berbau busuk malah terdapat banyak bangkai ikan yang ditemui terapung.

Menurutnya, masalah itu kini sedang diatasi namun jika keadaan bertambah buruk, pihaknya tidak teragak-agak untuk menghentikan sementara operasi pelancongan bot Melaka River Cruise di sungai terbabit, buat sementara.

"Bahagian teknikal kami kini sedang menjalankan aktiviti pembersihan dengan memungut bangkai-bangkai ikan yang timbul di permukaan air, dan dapat kita lihat warna air bertambah hitam ketika ini.

"Seramai 60 kakitangan giat melakukan pembersihan ini, selepas kita menerima banyak aduan daripada pelancong yang menggunakan perkhidmatan Melaka River Cruise," katanya ketika ditemui di jeti River Cruise, Taman Rempah, di sini hari ini.

Sebahagian bangkai ikan yang ditemui
Sebahagian bangkai ikan yang ditemui

Menurutnya, siasatan dilakukan kakitangannya mendapati, air berwarna hitam bermula dari Batu Hampar, Batu Berendam, dipercayai mengalir ke Sungai Melaka hingga ke Taman Rempah, lokasi bot River Cruise beroperasi.

Menurut beliau, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah dimaklumkan mengenai hal itu dan berharap masalah terbabit dapat diatasi segera.

Artikel Berkaitan:

Katanya, air terbabit dijangka dilepaskan keluar ke laut, namun menunggu air laut pasang dan proses itu dijangka dilakukan jam 12 tengah malam nanti.

Azlan dan Chee Leong menunjukkan bakul berisi bangkai ikan
Azlan dan Chee Leong menunjukkan bakul berisi bangkai ikan

"Ketika ini air laut sedang surut, kita tidak boleh buang air ke laut kerana sungai akan kering," katanya sambil mengesahkan kejadian itu yang pertama berlaku sejak 2006.

Ekoran kejadian itu, PPSPM turut membuat satu laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah.

Dalam pada itu Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong berkata, pencemaran dipercayai berlaku sepanjang tiga kilometer sejak malam tadi.

"Pencemaran sungai ini dipercayai bermula dari Empangan Batu Hampar, Batu Berendam dan saya sudah mengarahkan pihak JAS mengambil sampel air serta bangkai ikan untuk membuat siasatan bagi mengenalpasti punca.

"Perkara ini juga sudah dirujuk kepada Jabatan Kesihatan untuk diambil tindakan dan membantu pihak JAS serta Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM)," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di jeti River cruise, Taman Rempah, di sini hari ini.

Ekoran kejadian itu, beliau juga bimbang kejadian keracunan seperti kes di Johor berulang dan ia boleh menjejaskan imej Melaka sebagai negeri tumpuan pelancongan.