X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Ta’awun Pemuda Pas-UMNO Kedah diperkasa

Nurul Amin (duduk, tiga kiri) dan Mohd Fadzil (duduk, tiga kanan) bergambar bersama seluruh ahli jawatankuasa Pemuda Pas dan Pemuda UMNO Kedah selepas pertemuan rasmi pertama di Pejabat Pemuda UMNO Kedah di Alor Setar, semalam.
A
A

ALOR SETAR - Pemuda Pas Kedah dan Pemuda UMNO Kedah secara rasmi mengadakan perjumpaan buat pertama kali di Pejabat Pemuda UMNO di Alor Setar, semalam selepas usul supaya ta’awun (tolong-menolong) antara kedua-dua sayap parti itu diluluskan pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah di Baling baru-baru ini.

Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, rombongan beliau bersama 15 Ahli Jawatankuasa Pemuda Pas negeri termasuk timbalan dan naib ketua disambut baik oleh Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohd Fadzil Zulkifli bersama 10 ahli jawatankuasanya.

Menurutnya, tiada agenda khusus dibincangkan pada pertemuan tersebut dan ia menjurus kepada persetujuan memperkasakan hubungan Pemuda UMNO dan Pas Kedah dalam bentuk program yang merapatkan silaturahim

"Perjumpaan ini hasil daripada usul yang telah diluluskan pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah di Baling iaitu usul supaya 'ta’awun' antara Pemuda Pas dan UMNO diperkasakan.

"Dengan mengambil kira usul ini, saya dan rakan-rakan exco pemuda Pas Kedah membuat keputusan untuk mengadakan perjumpaan mahabbah ini, perjumpaan ini tiada agenda khusus dibincangkan dan semua diberikan ruang untuk melontarkan pandangan dan berkongsi pengalaman. Sesi soal jawab juga terbuka dengan suasana ceria dari kedua-dua belah pihak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurul Amin menyifatkan pertemuan tersebut sebagai satu perkembangan baik dan kedua-dua pihak bersetuju agar akan diadakan perjumpaan secara berkala.

Jelasnya, pertemuan membabitkan pemuda Pas-UMNO itu juga akan dipanjangkan kepada komponen Barisan Nasional (BN) seperti pemuda MIC dan pemuda MCA.

"Pertemuan ini tertumpu bagaimana mencari persefahaman dan mengurangkan perbezaan antara pemuda Pas-UMNO bagi menghadapi tentangan Pakatan Harapan (PH) dan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan agenda anak muda penentu kepada kemenangan pembangkang.

"Maklum balas kedua-dua pihak sangat baik, kita akan minta semua pergerakan pemuda UMNO bahagian dan pemuda Pas kawasan untuk perkasakan kerjasama dan silaturahim antara pemuda Pas-UMNO di setiap Parlimen dan mereka akan duduk dan bincang bagi cari titik pertemuan dan persamaan," katanya.

Tambahnya, Pemuda UMNO Kedah akan berkunjung balas ke Pejabat Pemuda Pas Kedah selepas hari raya ini dan beliau sangat menghargai pertemuan mahabbah pertama kali tersebut.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!