Lelaki ditahan seludup 2,636 karton rokok

Sebahagian rokok seludup pelbagai jenama yang dirampas di dua lokasi berasingan petang semalam.
A
A

KLANG – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menyeludup 2,636 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM349,738.33 di dua lokasi berasingan di sini, petang semalam.

Komander Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Nissan Ceffiro yang digunakan suspek untuk membawa rokok seludup terbabit.

Menurut beliau, dalam operasi kira-kira jam 3 petang, pihaknya berjaya mengesan dan mengekori sebuah kenderaan disyaki membawa rokok seludup di Pekan Kapar, di sini.

"Bertindak atas maklumat dan risikan, Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Mohd Khairuddin Jamal bersama empat anggota Unit Risikan Polis Marin Pelabuhan Klang mengekori kenderaan itu sehingga suspek berhenti di sebuah rumah di Batu Belah, Kapar.

“Lelaki berusia 46 tahun dan beralamat di Jalan Sungai Puloh, Taman Klang Utama, ditahan semasa hendak memasuki rumah tersebut. Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemui 486 karton rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai.

“Bagaimanapun, pemeriksaan di dalam rumah suspek, tidak menjumpai sebarang rokok seludup,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Rokok seludup pelbagai jenama ditemui di dalam kereta suspek dalam serbuan pertama, petang semalam.
Rokok seludup pelbagai jenama ditemui di dalam kereta suspek dalam serbuan pertama, petang semalam.

Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek, pihaknya berjaya merampas 2,150 karton rokok pelbagai jenama yang disembunyikan di sebuah rumah di Batu Nilam di sini.

“Hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis rokok disyaki tidak bercukai diletakkan di beberapa bahagian rumah berkenaan.

“Antara rokok yang dirampas termasuk Lufman Hijau 100 karton, Lufman Gold (600 karton), Canyon Merah (500 karton), U2 Merah (850 karton), Saat (50 karton) dan U2 Silver (50 karton),” katanya.

Tambah Rosman, lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen brrkaitan cukai ke atas rokok tersebut.

“Suspek bersama rokok serta kenderaan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin, Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.

“Nilai keseluruhan rokok dan kereta yang dirampas dianggarkan RM413,986.33 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia