DPIM lancar laman web Buy Muslim First

Zahar menunjukkan laman web Buy Muslim First.
A
A

IPOH - Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Perak melancarkan laman web dan aplikasi baru sebagai kempen menyokong barangan dan perkhidmatan halal yang ada di seluruh negeri.

Laman web dikenali Buy Muslim First itu lengkap dengan ciri dan segmen berkenaan produk diusahakan peniaga muslim bagi kemudahan pengguna khususnya orang Islam mengenal pasti barangan dipasarkan.

Pengerusi DPIM Perak, Datuk Zahar Hashim berkata, kempen itu bertujuan memberi galakan kepada ekonomi orang Islam dengan mengajak masyarakat menggunakan kuasa undi ringgit mereka kepada peniaga muslim.

"Website ini mengetengahkan semua jenis produk dan perkhidmatan daripada makanan, automotif hinggalah profesional seperti klinik dan peniaga hanya perlu mendaftarkan perniagaan mereka, itu pun kita lakukan secara percuma.

"Menerusi jaringan bersepadu bersama media sosial seperti Facebook, Instagram dan Google maps, pengguna yang menggunakan website ini akan mendapat akses secara terus dengan mudah," katanya ketika ditemui pada program Iftar Ramadan bersama Anak Yatim dan Asnaf di Dewan Tabung Haji semalam.

Menurutnya, laman web berkenaan sudahpun boleh dilawati sementara aplikasi mobil dijangka siap dalam tempoh tiga minggu lagi.

"Kita akan jalankan kempen yang sama serentak ke seluruh negara menerusi jaringan DPIM dan sekiranya semuanya berjalan dengan baik, tahun hadapan akan kita luaskan ke seluruh rantau Asia," katanya.

Beliau berkata, setakat ini sudah ada 30 peniaga muslim mendaftar dan pihaknya yakin dapat mencapai hingga 30,000 peniaga sebaik ia diperkenalkan secara meluas.

"Di Ipoh sahaja, hampir 70 peratus industri halal dipegang oleh bukan Islam, jadi kempen ini boleh dianggap usaha kecil DPIM membantu peniaga mengembangkan perniagaan mereka yang mana akhirnya ekonomi umat Islam bertambah kukuh," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia