'Kami tak akan bertanggungjawab'

Zulkifly menunjukkan tapak bazar di pekarangan Dewan Orang Ramai Ayer Baloi yang lengang selepas peniaga bertindak keluar dan berniaga di bahu jalan.
Zulkifly menunjukkan tapak bazar di pekarangan Dewan Orang Ramai Ayer Baloi yang lengang selepas peniaga bertindak keluar dan berniaga di bahu jalan.
A
A
A

PONTIAN - Majlis Daerah Pontian (MDP) mengulangi pendirian tidak pernah mengeluarkan sebarang kebenaran untuk peniaga dari tiga bazar Ramadan di daerah ini untuk keluar dan berniaga di kawasan tidak dibenarkan.

Ahli Majlis Daerah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perlesenan, Zulkifly Tasrep berkata, tiga bazar berkenaan terletak di Pekan Nanas, Ayer Baloi dan Taman Cahaya.

Katanya, MDO masih kekal dengan keputusan mengekalkan tapak bazar Ramadan sebagaimana yang ditetapkan sebelum ini.

Namun, pihaknya kesal apabila mendapati peniaga mula keluar daripada tapak bazar Ramadan untuk berniaga di bahu jalan yang mana ia tidak dibenarkan.

“MDP tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang isu yang timbul selepas peniaga bertindak keluar dari bazar Ramadan.

“Keingkaran peniaga untuk terus berniaga di tapak bazar yang disediakan, amat dikesali.

“Ini kerana lokasi tapak bazar Ramadan baharu yang diperkenalkan pada kali ini dipilih selepas perbincangan diadakan bersama MPKK, persatuan penjaja dan polis yang menitikberatkan aspek keselamatan,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan yang diambil, beliau enggan mengulas perkara tersebut, sebaliknya meminta peniaga memikirkan semasaknya tindakan mereka itu.

Artikel Berkaitan:

“Peniaga perlu miliki kesedaran dan tanggungjawab terhadap keselamatan orang lain terutama pengguna jalan raya apabila mereka bertindak di bahu jalan.

“Walaupun peniaga mendapatkan bantuan anggota Rela, namun masih timbul isu kesesakan lalu lintas di kawasan bazar terutama di Pekan Ayer Baloi,” katanya.

Sejak seminggu lalu, peniaga dari bazar Ramadan di pekarangan Dewan Orang Ramai Ayer Baloi mula berniaga di bahu jalan di pekan berkenaan.

Kesesakan lalu-lintas bermula jam 5 petang di Pekan Ayer Baloi yang menjadi laluan kepada pengguna untuk ke Benut dan Pontian.

Sementara itu, seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Mohd Azam berharap tindakan dapat diambil bagi menyuraikan kesesakan yang berlaku di Pekan Ayer Baloi.

Katanya, dia juga bimbang dengan keselamatan murid-murid dari dua buah sekolah berdekatan untuk melintas ketika berlaku kesesakan lalu lintas.