Infak 50 sen setiap belian minyak masak Saji

Haris Fadzillah (belakang lima dari kanan) bersama Mujahid(belakang enam kanan) dan Ahmad (belakang empat dari kiri) meraikan penghuni Rumah Anak Yatim Tasawwur Islam Simpang Empat Semanggol, Bagan Serai hari ini.
A
A

SELINSING - Felda Global Venture (FGV) Berhad melalui anak syarikatnya, Delima menginfakkan 50 sen bagi setiap 5kg minyak masak jenama Saji yang terjual di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif FGV Berhad, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, program julung kali diadakan di bawah Program Infak Ramadan itu menyasarkan RM300,000 untuk diagihkan kepada badan-badan kebajikan terpilih di negara ini.

Menurutnya, setakat hari ke 15 Ramadan, pihaknya menjangkakan separuh daripada sasaran kutipan infak Ramadan bagi produk minyak masak Saji dikeluarkan anak syarikat FGV itu berjaya dicapai.

"Sekurang-kurangnya 600,000 botol minyak masak Saji yang perlu terjual untuk membolehkan kami mencapai sasaran nilai infak ditetapkan.

"Nilai infak bernilai RM300,000 dikumpulkan itu kemudiannya dikeluarkan pada hujung Ramadan untuk diserahkan kepada tiga badan kebajikan utama yang dipastikan mampu memberi manfaat kepada rakyat memerlukan di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis enyerahan sumbangan dana pembelian van bernilai RM65,000 kepada Rumah Anak Yatim Tasawwur Islam Simpang Empat Semanggol di sini hari ini.

Haris Fadzillah berkata, pada tahun lalu, FGV dan anak-anak syarikatnya membayar sejumlah RM17.2 juta kepada pusat-pusat zakat negeri di seluruh negara.

Sementara itu, Ahmad sewaktu ditemui bersyukur menerima sumbangan FGV, sekaligus merealisasikan hasrat membeli sebuah van untuk keperluan penghuni Rumah Anak Yatim Tasawwur Islam Simpang Empat Semanggol dengan nilai keseluruhan RM125,000.

Sementara itu, majlis yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof itu turut menyaksikan FGV diwakili Haris Fadzillah menyerahkan sumbangan dana pembelian sebuah van kepada Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam Perak (Pkaytip), Datuk Seri Ahmad Awang.

Selain itu, FGV turut menyerahkan sumbangan duit raya kepada 13 penghuni Rumah Tasawwur Islam Simpang Empat Semanggol.