Rumah pusaka terbakar, persiapan raya musnah

Fauziah bersama anak bongsunya, Aimi Azwa Khairil Anuar, 9, mencari barang-barang yang mungkin boleh digunakan semula.
Fauziah bersama anak bongsunya, Aimi Azwa Khairil Anuar, 9, mencari barang-barang yang mungkin boleh digunakan semula.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ketika umat Islam sibuk membuat persiapan menyambut ketibaan Aidilfitri sebuah keluarga diduga apabila rumah pusaka yang mereka diami di Kampung Gong Kiat di sini terbakar hari ini.

Fauziah Mamat, 42, sekeluarga turut tinggal sehelai sepinggang selepas rumah berusia 55 tahun itu hangus dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian hanya suaminya, Khairil Anuar Ali, 47, yang berada di dalam rumah manakala dia bersama tiga anak keluar ke pasar borong berhampiran.

"Selesai urusan, saya terus balik sebelum ternampak asap tebal dari arah rumah dan menyangka jiran bakar sampah. Sebaik sahaja sampai saya terkejut tengok api marak membakar bumbung rumah.

"Saya terus mencari suami kerana hanya dia tinggal di dalam rumah sebelum dimaklumkan jiran dia selamat. Luluh hati sebaik melihat keadaan rumah yang sedang terbakar tetapi saya reda jika itu sudah takdir kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di sini.

Surirumah itu berkata, walaupun semua persiapan menyambut Aidilfitri termasuk baju raya hangus, baginya nyawa lebih penting.

Rumah pusaka didiami Fauziah sekeluarga hangus dalam kebakaran kira-kira jam 10.15 pagi tadi.
Rumah pusaka didiami Fauziah sekeluarga hangus dalam kebakaran kira-kira jam 10.15 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Khairil Anuar berkata, semasa kejadian, dia sedang tidur di ruang tamu sebelum terkejut kerana terasa bahang api berhampiran dengannya.

"Saya nampak api sedang marak di dalam rumah dan disebabkan terlalu panik kerana bimbang akan terperangkap di dalam rumah, saya terus melompat keluar melalui tingkap rumah.

"Dalam suasana kelam kabut itu, saya dengan bantuan jiran-jiran sempat menolak kereta yang diparkir di hadapan rumah manakala dua buah motosikal gagal diselamatkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi Balai Bomba Terengganu, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sharizal Shamsudin berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 10.43 pagi.

"Dengan kekuatan seramai 25 anggota dari Balai Bomba Kuala Terengganu dan Jalan Kota, kami berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya jam 11.17 pagi.

"Punca kejadian kebakaran dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan forensik bomba," katanya.