Tak cukup duit berbuka puasa

Murid terpaksa berbuka secara ala kadar. (Gambar kecil: Ahmad Shahabudin)
Murid terpaksa berbuka secara ala kadar. (Gambar kecil: Ahmad Shahabudin)
A
A
A

KUALA KETIL - Perkampungan Islam Raudhatul Muslimin merayu sumbangan bagi menyempurnakan majlis berbuka puasa dan bersahur sepanjang Ramadan ini.

Pengerusinya merangkap Pengarah Program Ihya Ramadan, Ahmad Shahabudin Ibrahim berkata, tahun ini pihaknya tidak mempunyai bekalan makanan mencukupi ekoran kekangan kewangan bagi menampung majlis iftar penduduk dan murid asrama Sekolah Islam Raudhatul Muslimin (Srirm).

"Pada tahun ini kami di perkampungan tidak mempunyai dana yang cukup bagi menyediakan lauk-pauk kepada 300 penduduk berbuka puasa.

"Ini adalah dalam sejarah apabila buat pertama kita tidak dapat menganjurkan majlis sahur kepada penduduk tetapi ia diteruskan kepada 80 murid asrama," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, bagi memastikan setiap penduduk dapat berbuka, pihak perkampungan terpaksa menyediakan juadah ala kadar seperti gulai ikan kering bersama terung dan sambal belacan.

"Majlis berbuka kita adakan bagi mengimarahkan masjid di samping meringankan beban penduduk yang majoritinya buruh, penoreh getah yang mengambil upah dan peniaga kecil-kecilan," katanya

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Tadbir Srirm berkata, pada tahun ini sumbangan daripada pihak luar berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya dipercayai akibat faktor ekonomi semasa.

"Pada tahun-tahun lalu sumbangan bekalan makanan dan tunai daripada pihak luar mencukupi. Kebanyakan penyumbang Kuala Lumpur, Pahang, dan Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi tahun ini sumbangan yang kita terima ada lebih kurang RM2,000 dan 34 kampit beras. Tahun lepas apabila sudah lepas 10 Ramadan duit dalam akaun pihak madrasah melebihi RM15,000," katanya.

Ahmad Shahabudin berkata, sumbangan diperlukan buat waktu ini ialah susu pekat, gula, minyak, bawang, serta bahan masakan lain.

"Selebihnya kita perlu lagi sumbangan beras bagi menyediakan sahur kepada murid-murid asrama. Kami sangat berharap kepada masyarakat supaya dapat hulurkan sedikit sumbangan untuk anak-anak di sini jalani ibadah Ramadan dengan lebih selesa," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shahabudin berkata, wang bagi membayar saguhati kepada 120 peserta majlis zikir dan tahlil tidak mencukupi.

"Ia sebagai hadiah bagi membantu penduduk membeli barangan keperluan untuk hari raya. Kos bagi membayar wang sagu hati, upah tukang memasak, berbuka puasa dan sahur jumlahnya ialah RM36,000

"Kita juga menerima sumbangan berupa pakaian yang ingin dijadikan sebagai hadiah seperti kain pelekat, kain telekung dan kain batik," katanya.

Menurutnya, sumbangan boleh disalurkan kepada Madrasah Raudhatul Muslimin melalui akaun Bank Islam, 02048020191933 atau hubungi Ustaz Ahmad Shahabudin di talian 013-4400403 atau 013-3965883.