Polis berkas kumpulan ala mafia

Polis meminta seorang individu untuk hadir segera berjumpa pegawai penyiasat kes di Jabatan Siasatan Jenayah IPD Gombak bagi membantu siasatan.
Polis meminta seorang individu untuk hadir segera berjumpa pegawai penyiasat kes di Jabatan Siasatan Jenayah IPD Gombak bagi membantu siasatan.
A
A
A

RAWANG - Simbah cat ke dinding rumah, bakar mercun dalam tong cat merah dan merosakkan kereta adalah antara tindakan ala mafia yang dilakukan sekumpulan individu terhadap seorang pengarah penguat kuasa PBT di Taman Muhibbah di sini.

Tindakan tersebut bagaimanapun memakan diri apabila kumpulan terbabit yang terdiri daripada enam individu warga tempatan dan seorang individu warga Indonesia berjaya diberkas polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan, rumah mangsa telah diserang pada 13 Mei lalu dan 28 April lalu.

"Rumah mangsa telah diserang beberapa lelaki dengan cara menyimbah cat berwarna merah ke atas dua buah kenderaan milik mangsa dan membakar mercun yang diletakkan dalam tong cat merah bersama paku, besi, dan serpihan kertas pada 13 Mei lalu.

"Sebelum itu, pada 28 April rumah dan kereta mangsa juga telah diserang dgn cara yang sama oleh beberapa orang lelaki," katanya.

Katanya, susulan kejadian, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Lapan suspek terdiri daripada tujuh individu warga tempatan dan seorang warga asing berumur 22 tahun hingga 57 tahun telah ditahan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah IPD Gombak pada 15 Mei lalu.

"Tangkapan seterusnya dibuat pada 17 Mei jam lebih kurang 4.30 pagi ke atas dua wanita Melayu berumur 46 tahun dan 19 tahun, siasatan dijalankan mendapati kesemua suspek tiada rekod jenayah lampau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan selanjutnya dijalankan mendapati suspek yang ditahan telah diupah untuk menyerang rumah mangsa.

"Motif dipercayai atas tindakan tegas yang diambil oleh pihak PBT terbabit bagi menangani masalah pembuangan sampah di tapak pelupusan haram di Kampung Sungai Tua Batu Caves Selangor.

"Kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, polis meminta seorang individu untuk hadir segera berjumpa pegawai penyiasat kes di Jabatan Siasatan Jenayah IPD Gombak bagi membantu siasatan.

"Individu terbabit bernama Jafni Bin Abdullah @ Mohd Yusoff, atau digelar sebagai 'Man Puchong' untuk hadir bagi membantu siasatan.

"Pihak polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas individu atau kumpulan yang mengambil pendekatan kekerasan dan membahayakan orang ramai bagi menyelesaikan sesuatu masalah atau isu," katanya.