Visi Kemakmuran Bersama 2030 bukan baharu, original

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Visi Kemakmuran Bersama 2030 bukan sesuatu yang baharu dan 'original', kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurutnya, segala dinyatakan dalam visi tersebut adalah penerusan pelbagai dasar kerajaan sebelumnya dalam pakej yang berlainan.

"Jadi apakah tawaran baru dalam visi ini? Rakyat mengharapkan sesuatu yang transformatif dan bersifat 'game changing'.

"Adakah projek kereta nasional ketiga, kereta terbang, mengembalikan semula perlumbaan Formula 1, menjual aset-aset strategik kerajaan dan pelbagai lagi merupakan sebahagian dari strategi utama pelaksanaan dasar kemakmuran bersama ini," katanya mengulas mengenai pembentangan Visi Kemakmuran Bersama 2030 di sini, semalam.

Mohamed Khaled berkata, rakyat pastinya sangat gusar tentang kebolehcapaian cita-cita besar itu.

"Saya harap kerajaan akan membentangkan dengan lebih lengkap strategi serta pendekatan yang akan digunakan dalam merealisasikan aspirasi ini.

"Kita sangat berharap agar kemakmuran yang cuba digembur ini benar-benar menjadi kemakmuran bersama dan bukannya visi nasional yang manis, lunak dan menjadi halwa telinga semata-mata," katanya.

Selain itu, katanya, pembentangan fokus dan pelan terbaharu kerajaan itu setelah diteliti menimbulkan beberapa persoalan dan aspek penting mesti diperjelaskan.

Artikel Berkaitan:

"Pertama, apakah kayu ukur kemakmuran bersama ini? Kedua, adalah penting untuk diingatkan bahawa penghalang utama kepada kemakmuran bersama adalah pendapatan yang terlampau tinggi dan tumpuan kekayaan dalam kalangan orang kaya.

"Ketiga, kerajaan sehingga kini belum menjelaskan bagaimana strateginya untuk mengagihkan kekayaan negara secara lebih saksama dan berkeadilan," katanya,

Mohamed Khaled berkata, keempat, kerajaan mempunyai tugas memastikan yang usaha mengurangkan peranannya dalam ekonomi dan melupuskan aset dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak akan mewujudkan orang tengah yang mendapat keuntungan atas angin (‘rentier’) sekali lagi.

"Kelima, objektif ketiga hasrat Kemakmuran Bersama adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai paksi ekonomi Asia. Ini adalah harapan yang tinggi, dan baik.

"Namun sehingga waktu ini, tiada strategi khusus dinyatakan bagaimana kerajaan akan memacu proses menglobalisasikan ekonomi Malaysia dan mengukuhkan peranannya dalam kemakmuran ekonomi serantau," katanya.

Beliau berkata, keenam, kesemua tujuh teras dasar kemakmuran bersama itu semuanya telah menjadi kerangka dasar ekonomi Malaysia sebelum ini.

"Ia telah diungkapkan secara jelas dan tuntas dalam pelbagai dasar ekonomi, pembangunan dan dasar sosial negara.

"Malah banyak sekali projek dan program dalam pelbagai skala, telah dilaksanakan dalam merealisasikannya. Semuanya dengan tujuan untuk memakmurkan Malaysia," katanya.